Sungai cetek sukarkan nelayan darat cari rezeki

Antara kawasan alur air yang cetek menyebabkan pergerakan nelayan untuk mencari rezeki terhad. (Gambar kecil: Ahmad Jamal, Zakaria)
Antara kawasan alur air yang cetek menyebabkan pergerakan nelayan untuk mencari rezeki terhad. (Gambar kecil: Ahmad Jamal, Zakaria)
A
A
A

PASIR SALAK - Keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini menyebabkan hampir 100 nelayan darat di Sungai Galah, Kampung Gajah di sini terkesan apabila sungai menjadi cetek dan hidupan air tawar juga cepat mati.

Seorang nelayan, Ahmad Jamal Harun, 62, berkata, situasi itu amat ketara apabila ikan yang dijaring mati di dalam air sebelum sempat diambil dalam tempoh kurang 24 jam.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ikan sukar dijual kerana tidak lagi segar kerana kebanyakan pelanggan lebih gemar membeli ikan yang masih hidup.

"Memang saya akui cuaca panas ketika ini sangat memberi kesan kepada kami nelayan darat. Ikan jadi berkurang dan sungai jadi cetek tak boleh nak lalu sebab enjin sangkut. Ada juga nelayan yang jatuh sakit sebab cuaca ini.

Sebahagian hasil sungai yang dikumpul setelah beberapa hari menjaring ikan.
Sebahagian hasil sungai yang dikumpul setelah beberapa hari menjaring ikan.

"Saya cuma tangkap ikan guna jaring sahaja. Kalau dulu saya pernah dapat sehari RM200 menjaring ikan tapi sekarang ini nak dapat RM50 pun susah. Memang keadaan sekarang ini mencabar," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Jeti Nelayan Darat Sungai Galah, Kampung Gajah di sini.

Berpengalaman lebih 35 tahun sebagai nelayan, Ahmad Jamal berkata, sesuatu boleh difikirkan oleh pihak berkaitan bagi membantu nelayan menangani keadaan itu supaya golongan itu tidak terputus rezeki.

Bagi Zakaria Omar, 72, pula, keadaan itu merupakan yang terburuk dalam sejarah sejak 50 tahun menjadi nelayan darat di kawasan itu.

Menggunakan sampan sebagai pengangkutan utama, dia tetap menggagahkan diri mencari rezeki walaupun adakalanya mengalami selesema dan batuk disebabkan keadaan panas.

Menurutnya, setakat ini keadaan kesihatannya masih baik tetapi ada rakan-rakan nelayan lain yang mengalami serangan jantung dan demam disebabkan cuaca terlampau panas.

Hasil udang galah juga berkurangan dan cepat mati ketika musim panas yang melanda kini.
Hasil udang galah juga berkurangan dan cepat mati ketika musim panas yang melanda kini.

Katanya, walaupun kebanyakan nelayan darat di situ keluar mencari ikan pada waktu malam, bahang tetapi terasa menyebabkan mereka kurang selesa bekerja.

Jelas Zakaria, dalam masa dua hari turun ke sungai, baru 900 gram udang galah yang diperoleh berbanding sebelum ini lebih sekilogram sehari boleh ditangkap.

Seorang lagi nelayan, Nik Man Shaarani, 37, berkata, disebabkan keadaan sungai yang cetek, nelayan terpaksa berdepan risiko kerosakan pada enjin bot kerana dimasuki pasir selain bot yang rosak terlanggar tunggul kayu di dalam sungai.

Nik Man mengakui nelayan berdepan risiko melalui kawasan sungai yang cetek kerana boleh merosakkan enjin dan badan bot.
Nik Man mengakui nelayan berdepan risiko melalui kawasan sungai yang cetek kerana boleh merosakkan enjin dan badan bot.

Menurutnya, terdapat alur-alur sungai yang terbentuk dari Sungai Kinta tidak dapat dilalui nelayan kerana paras air yang rendah sekali gus menyebabkan pergerakan mencari rezeki terbatas.

"Kalau sungai tak cetek kami boleh masuk ke kawasan bekas-bekas lombong berhampiran tapi sebab dasar sungai rendah, kami tersangkut dalam pasir. Bila pasir masuk dalam enjin, memang akan ambil masa untuk baiki. Kos baik pulih juga bukan sedikit dan dalam tempoh itu memang sudah kami nak cari makan.

"Kita harap sangat kerajaan negeri atau mana-mana pihak boleh bantu ringankan beban nelayan darat ketika ini. Tak kisahlah apa pun bantuannya asalkan kami tidak terputus makanan," katanya.

Keadaan cuaca panas memberi kesan kepada nelayan di kawasan Sungai Galah, Kampung Gajah, Perak.
Keadaan cuaca panas memberi kesan kepada nelayan di kawasan Sungai Galah, Kampung Gajah, Perak.