Selangor lancar projek solar terapung terbesar Asia Tenggara

Amirudin (tengah) semasa Perasmian Pecah Tanah Projek Ladang Solar Berskala Besar (LSS5), pada Selasa.
Amirudin (tengah) semasa Perasmian Pecah Tanah Projek Ladang Solar Berskala Besar (LSS5), pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga boleh baharu apabila memulakan projek Ladang Solar Skala Besar (LSS5) terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti 300 megawatt (MW).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek bernilai lebih RM1 bilion itu dibangunkan Bestari Solar Sdn Bhd (BSSB), sebuah konsortium diterajui Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra), Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan Rotaka Engineering Services (M) Sdn Bhd selepas memenangi bidaan secara kompetitif.

Menurutnya, projek melibatkan keluasan kira-kira 430 hektar itu akan dibangunkan di atas tanah milik anak syarikat kerajaan negeri termasuk Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) serta sebahagian tanah kerajaan negeri.

"Tanah-tanah ini akan dipajak kepada Worldwide dan syarikat terlibat bagi tujuan operasi tenaga solar untuk tempoh 21 tahun,” katanya semasa Perasmian Pecah Tanah Projek LSS5 di sini pada Selasa.

Amirudin berkata, lebih 80 peratus daripada projek itu menggunakan teknologi solar terapung (floating solar) manakala selebihnya solar di darat, sekali gus membolehkan Selangor memanfaatkan badan air sedia ada tanpa menjejaskan penggunaan tanah secara besar-besaran.

Menurutnya, badan air digunakan adalah kolam simpanan air mentah berkaitan projek-projek seperti HORAS yang tidak digunakan secara aktif kecuali ketika musim kemarau.

"Dengan solar terapung, penggunaan tanah dapat diminimumkan dan pada masa sama badan air yang aktiviti penggunaannya terhad dapat dimanfaatkan secara optimum untuk tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang,” katanya.

Mengulas isu kualiti air, Amirudin memberi jaminan teknologi terkini yang digunakan tidak akan menjejaskan kualiti air, malah mengambil kira aspek pengoksigenan dan kawalan pertumbuhan alga.

"Teknologi pontun yang lebih mesra alam mampu menangani kebimbangan berkaitan kualiti air.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan pula air ini hanya digunakan sebagai pilihan terakhir apabila paras air berada pada tahap kritikal,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sektor tenaga di bawah anak syarikat kerajaan negeri kini berkembang secara agresif sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini termasuk kejayaan Pulau Indah Power Plant yang kini beroperasi pada kapasiti penuh kira-kira 1,200 MW.

Katanya, Selangor juga sedang menyiapkan projek mini hidro di Batang Kali dan Kerling serta projek tenaga daripada sisa (WTE) fasa satu yang dijangka siap sebelum Aidilfitri.

Amirudin turut memaklumkan, pemasangan peranti solar di aset Air Selangor menunjukkan kejayaan termasuk di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu yang berjaya mencapai status hampir sifar pelepasan karbon.

Ringkasan AI

  • Selangor memulakan projek Ladang Solar Skala Besar terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti 300 megawatt
  • Projek bernilai lebih RM1 bilion dan dibangunkan oleh konsortium termasuk Edra Power Holdings dan Worldwide Holdings Berhad
  • Kawasan projek seluas 430 hektar di atas tanah milik anak syarikat kerajaan negeri dan beberapa tanah kerajaan negeri
  • Lebih 80 peratus daripada projek menggunakan teknologi solar terapung dan selebihnya solar di darat
  • Teknologi terkini digunakan untuk mengatasi kebimbangan kualiti air dan mengoptimalkan penggunaan badan air tanpa menjejaskan kualitinya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!