'Dulu bantah tambak laut, kini diam membisu'

Arshad (kiri), Ibrahim (tengah) dan Zakaria (kanan) pada sidang akhbar berhubung tuntutan nelayan Pulau Pinang kepada calon-calon yang bertanding pada PRN Pulau Pinang di Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar.
Arshad (kiri), Ibrahim (tengah) dan Zakaria (kanan) pada sidang akhbar berhubung tuntutan nelayan Pulau Pinang kepada calon-calon yang bertanding pada PRN Pulau Pinang di Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Komuniti Nelayan Pulau Pinang mempertikaikan sikap beberapa pemimpin politik di negeri ini yang sebelum ini bersama membantah projek tambakan laut di negeri ini, namun kini hanya diam membisu selepas berjaya dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang, Arshad Omar berkata, ketika berkempen sebelum ini calon-calon yang bertanding ketika itu sanggup hadir menunjukkan bantahan terhadap pembangunan yang ingin dijalankan malah ada diantara mereka turut memegang poster bagi menunjukkan solidariti bersama nelayan.

Bagaimanapun katanya, selepas kerajaan terbentuk dan ada dalam kalangan mereka yang menang serta berjaya mengekalkan kedudukan sebagai ahli Parlimen, suara-suara mereka sudah tidak lagi kedengaran.

"Ramai yang datang malah daripada pelbagai parti yang bersama kami pada ketika itu...Poster tolak tambak dan sebagainya semuanya boleh pegang lagi ketika itu, tapi sekarang entah di mana mereka.

"Kita berharap calon Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kalau dah menang tu harap kekal bersuara dan terus membantah...ini demi kesejahteraan nelayan, kalau kawasan tangkapan kami diganggu habis hilang sumber makanan kita.

"Jadi kami mohon pertolongan (calon-calon) agar terus bersuara dan bawa perkara ini dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) kalau menang nanti," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar.

Dalam pada itu, Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) pula menuntut semua calon PRN Pulau Pinang agar memberi perhatian terhadap lima tuntutan nelayan demi melindungi hak serta kesejahteraan 6,000 nelayan di seluruh negeri ini.

Naib Pengerusi Pen Mutiara, Zakaria Ismail berkata, antara yang perlu diberi perhatian serius oleh calon-calon ialah menghentikan semua projek tambakan laut yang dalam perancangan untuk dilaksanakan di negeri ini serta meneroka alternatif ekonomi mampan yang tidak mengorbankan alam sekitar.

Beliau berkata, nelayan juga mahu calon-calon menggalakkan pertumbuhan ekonomi biru yang mampan sejajar dengan pemeliharaan lautan contohnya sektor ekopelancongan marin yang dapat merangsang ekonomi tempatan.

"Selain itu, kita juga mahukan konservasi dan pemeliharaan laut untuk melestarikan dan memelihara sumber-sumber marin.

"Kami juga mohon pengiktirafan kampung nelayan sebagai tapak warisan selain pelan induk strategik bagi ketahanan iklim di Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pen Mutiara, Ibrahim Che Ros pula berkata, komuniti nelayan tetap dengan pendirian tidak mahukan sebarang projek tambak laut dilaksanakan.

Beliau berkata, pihaknya sedia untuk mengadakan sesi penerangan kepada semua calon-calon PRN di negeri ini tentang musibah dan kesan yang akan berlaku sekiranya rancangan kerajaan negeri ini diteruskan.