Jumlah kerosakan akibat banjir dijangka lebihi RM70 juta: MAFI

Ahmad (dua dari kanan) bersama Mohd Soffi (kiri) dan Nik Roslan (kanan) serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Benus, Zaharah Ismail dalam kunjungan ke kampung itu pada Khamis.
Ahmad (dua dari kanan) bersama Mohd Soffi (kiri) dan Nik Roslan (kanan) serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Benus, Zaharah Ismail dalam kunjungan ke kampung itu pada Khamis.
A
A
A

BENTONG - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mendedahkan jumlah kerosakan yang dihadapi mangsa banjir khususnya golongan petani, peladang, penternak dan nelayan yang terjejas di negara ini akan terus meningkat berbanding jumlah jangkaan sebanyak RM70 juta sebelum ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia hasil lawatan dan tinjauan ke beberapa negeri yang terjejas akibat banjir setakat ini.

Menurutnya, kementerian sedang menghalusi segala kaji selidik yang dilakukan oleh pegawai-pegawai agensi pertanian terhadap segala kerosakan yang berlaku di setiap negeri terlibat.

"Kita dapati jumlah kerosakan semakin meningkat walaupun suatu ketika dahulu kita jangkakan sebanyak RM70 juta.

"Angka ini akan terus meningkat kerana kita dapati banyak lagi laporan diterima dan selepas lawatan dibuat kerosakannya dapat disahkan lebih meluas," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau ditemui sempena lawatan kerja Agropreneur Muda di daerah Bentong.

Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Nik Roslan Idris dan Pengarah Unit Agropreneur Muda MAFI, Mohammad Ezri Shamsuddin.

Ahmad berkata, sebagai contoh jumlah kerosakan di Pahang pada awalnya dianggarkan sebanyak RM8 juta pada minggu lalu, namun jumlahnya dijangka bertambah.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, jumlah kerosakan sebenar masih belum diketahui tetapi secara rambang, jumlahnya akan meningkat kerana banyak lagi mangsa yang belum membuat laporan.

"Ini kerana mangsa banjir menghadapi pelbagai kekangan termasuk untuk bersihkan rumah," katanya yang turut mengalu-alukan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mereka yang terjejas.

Menerusi lawatan kerja tersebut, Ahmad turut menyampaikan sumbangan dan menyantuni Wira Agro dan misi bantuan banjir bersama KADA di Kampung Benus selain melawat tapak projek Agropreneur Muda di Kampung Karak Setia, Kampung Ulu Perting dan Kampung Baru Bentong yang terjejas akibat banjir.