Bukit Aman tunggu pengesahan penangkapan suspek di Gaza

Pihak berkuasa Palestin mengesahkan telah menahan seorang suspek pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute, Dr Fadi M R Al Batsh Fatma. - Foto fail AFP
Pihak berkuasa Palestin mengesahkan telah menahan seorang suspek pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute, Dr Fadi M R Al Batsh Fatma. - Foto fail AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sedang mendapatkan pengesahan berhubung penangkapan suspek yang terbabit dalam kejadian pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) Dr Fadi M R Albatsh Fatma pada tahun 2018.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pengesahan berhubung penangkapan suspek itu sedang diperoleh dari Kementerian Luar Malaysia dan Kedutaan Malaysia di Palestin.

"Kita perlu mendapatkan pengesahan terlebih dahulu mengenai tangkapan suspek terbabit dari sumber yang sah seperti Kementerian Luar, Kedutaan Malaysia di Palestin, Polis Antarabangsa (Interpol) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hubungan baik dengan NGO di Palestin," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Abd Jalil memaklumkan segala tindakan susulan akan dilakukan sebaik pihaknya mendapatkan pengesahan mengenai tangkapan kes bunuh Fadi yang ditembak ketika berjalan kaki untuk menunaikan solat Subuh, di sebuah surau di hadapan sebuah kondominium di Jalan Gombak Setapak pada tahun 2018.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut sama ada suspek yang ditahan di Gaza itu adalah ejen Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel atau Mossad seperti yang didedahkan oleh Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash, sebelum ini.

Media pada 2018 melaporkan Fadi dibunuh oleh dua suspek menaiki motosikal jenis BMW yang melepaskan tembakan dari jarak dekat.

Pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.

Artikel Berkaitan: