Kertas siasatan polis mabuk pandu lawan arus diserah ke Bukit Aman

Zam Halim
Zam Halim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan membabitkan pegawai polis yang ditahan disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan melawan arus di Jalan Cheras, di sini minggu lalu telah diserahkan kepada bahagian perundangan Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kertas siasatan itu diserah pihaknya pada minggu lepas.

"Kertas siasatan sudah diserahkan dan pihak perundangan Bukit Aman akan meneliti siasatan tersebut bagi tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita pada Pelancaran Taman Angkat Amanita di Taman Bukit Cheras pada Sabtu.

Zam Halim berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku selepas pegawai terbabit selesai waktu kerja.

Katanya, kes disiasat Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang tugas penjawat awam) dan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengambil alkohol melebihi jumlah ditetapkan.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan, seorang pegawai polis ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan melawan arus pada 15 Jun lepas.

Dalam kes berasingan, polis sedang mengesan dua lagi penjenayah pecah rumah bersenjata parang yang melarikan diri selepas dua rakan mereka ditembak mati dalam kejadian di Taman Supreme, Cheras di sini pada 8 Jun lalu.

“Siasatan masih dijalankan dan kita ada petunjuk mengenai kes itu.

“Kita juga masih menunggu laporan patologi dua suspek yang mati ditembak itu daripada pihak hospital,” ujarnya.