Polis selesai ambil keterangan Sanusi - Bukit Aman

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah selesai mengambil keterangan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataannya yang mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman merakam percakapan Muhammad Sanusi di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

"PDRM kini dalam tindakan melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu bercakap kepada pemberita di Alor Setar selepas memberi keterangan, Muhammad Sanusi berkata, beliau ditanya lima soalan ketika diambil keterangan.

Semalam, media melaporkan PDRM menerima laporan dan telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Muhammad Sanusi berkaitan perkara itu.

Pada 29 Mei lepas, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis. - Bernama