Projek kuari di Gunung Inas ancam bekalan air bersih

Biduzodin mewakili penduduk dari enam buah kampung menyampaikan memorandum kepada Abdul Azeez di pekarangan Surau KEDA Kemangi, Kupang di sini pada Ahad.
Biduzodin mewakili penduduk dari enam buah kampung menyampaikan memorandum kepada Abdul Azeez di pekarangan Surau KEDA Kemangi, Kupang di sini pada Ahad.
A
A
A

BALING - Kira-kira 1,500 penduduk dari enam kampung di Kupang risau projek kuari batu yang dijalankan di Gunung Inas akan menjejaskan bekalan air bersih ke perkampungan mereka.

Setiausaha Bekalan Air Masyarakat, Biduzodin Ibrahim, 74, berkata, sejak sebulan lalu terdapat sebuah syarikat kontraktor didapati memasuki kawasan tadahan air bersih dan melakukan kerja-kerja mencari gali batu kapur.

Katanya penduduk kampung sebulat suara membuat bantahan awal untuk mengelakkan projek kuari berkenaan kerana dibimbangi menjejaskan bekalan air bersih.

"Kami bimbang sekiranya projek ini diteruskan, ia mencemarkan saliran air dan kolam tadahan air bersih yang disalurkan ke enam buah kampung berhampiran.

"Antara kampung terlibat adalah Kampung Kemangi, Kampung KEDA Kemangi, Kampung Kuala Kuang, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Bendang Baru dan Kampung Padang Dan," katanya ketika ditemui di majlis himpunan aman membantah pencerobohan pusat tadahan air di pekarangan Surau KEDA Kemangi, Kupang di sini pada Ahad.

Menurutnya, kawasan tadahan air sejauh tiga kilometer itu digunakan oleh penduduk kampung sejak tahun 1991.

"Penduduk bergantung sepenuhnya kepada bekalan air berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau kesal dengan tindakan syarikat terbabit yang cuba membina kuari batu sehingga menjejaskan sumber air bersih penduduk sekitar.

Artikel Berkaitan:

"Saya sebelum ini tidak mengetahui mengenai projek kuari batu terbabit sehingga saya dimaklumkan mengenai perhimpunan aman ini hari ini.

"Bagaimanapun saya telah menerima memorandum bantahan penduduk ini dan akan memanjangkannya kepada Menteri Besar Kedah bagi menghentikan kerja-kerja cari gali ini dan berharap ia tidak dilakukan lagi oleh mana-mana pihak demi kepentingan penduduk kampung," katanya.