Pengecualian bil air mangsa banjir belum diputuskan

Aminuddin (kanan) ketika sidang akhbar di Seremban pada Rabu.
Aminuddin (kanan) ketika sidang akhbar di Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan belum membuat sebarang keputusan berhubung pengecualian bayaran bil air bagi pemilik akaun yang terjejas akibat banjir di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun berkata, ketika ini mangsa masih berkemampuan membuat pembayaran kerana telah menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,000 daripada kerajaan negeri.

"Tidak ada masalah, kita tahu bil air pun tidak setinggi mana. Kalau kita pakai banyak air pun, kena RM20 hingga RM30 tambahan. Jadi saya harap mereka pun memahami beban ditanggung Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains).

"Ini kerana, kerugian dialami Sains adalah tinggi kerana beberapa Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini turut terjejas seperti pam di LRA Pantai mengalami kerosakan dan tidak boleh diguna lagi ketika ini.

"Jadi apabila kita nak beri pengecualian untuk bayaran bil air, Sains pun sebenarnya mengalami kerugian agak signifikan dan saya harap mereka memahami tentang perkara ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Aminuddin yang juga Pengerusi Sains berkata, pihaknya juga belum membuat penilaian berhubung jumlah sebenar kerugian dialami Sains kerana proses untuk menilai kos kerugian tersebut mengambil sedikit masa.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, tiga buah sekolah di negeri ini terjejas banjir iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tanah Merah Site A dan Sekolah Rendah Kebangsaan Permatang Pasir di Port Dickson; serta Sekolah Menengah Agama (SMA) Kuala Klawang di Jelebu.

"Bagaimanapun, kesemua sekolah ini akan beroperasi seperti biasa pada sesi pembukaan sekolah pada minggu hadapan. Kita sedang menunggu laporan penuh daripada Jabatan Pendidikan negeri berhubung kerosakan dialami untuk tindakan selanjutnya," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Pada sidang akhbar tersebut, Aminuddin turut menjelaskan bahawa tiada sebarang acara perbarisan kehormatan diadakan sempena Hari Keputeraan ke-74 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 14 Januari ini.

Beliau berkata, ia berikutan situasi semasa negara yang masih berdepan pandemik Covid-19.

"Hanya Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat akan dilangsungkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," ujarnya.