JAS Terengganu kutip 20 tan e-waste tahun lalu

Sebahagian e-waste yang berjaya dikumpul pada Sabtu.
Sebahagian e-waste yang berjaya dikumpul pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu mengutip lebih 20 tan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Ramli Abd Rahman berkata, ia hasil 28 program pengumpulan bersama orang awam dan jabatan kerajaan yang diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak bermula Januari hingga Disember.

Menurutnya, program pengumpulan e-waste dari penduduk merupakan aktiviti berterusan dilakukan JAS Terengganu untuk membantu masyarakat melupuskan buangan e-waste mengikut kaedah yang betul dan selamat.

“Terbaharu, kami membuka tirai tahun 2022 dengan mengadakan pengumpulan e-waste pada 1 Januari (Sabtu) bertempat di Marque Tent, Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu iaitu di belakang hentian bas Tanjung.

“Lebih satu tan e-waste berjaya dikutip dalam program yang bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari ini dan kami hargai penyertaan orang ramai membawa bahan buangan e-waste masing-masing,” katanya, pada Ahad.

Ramli berkata, program anjuran JAS Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Syarikat KT Wan Recycle itu menyasarkan pengumpulan e-waste dari kalangan penduduk sekitar Kuala Terengganu untuk dilupuskan dengan betul.

Kata beliau, antara barangan yang berjaya dikumpulkan adalah televisyen, komputer peribadi, mesin basuh, pendingin hawa, peti ais, telefon bimbit dan pelbagai barangan elektrik dan elektronik di rumah.

“Kami sentiasa menggalakkan masyarakat supaya menguruskan bahan buangan e-waste ini mengikut kaedah yang betul dan selamat bagi menjamin keselamatan dan kelestarian alam.

Artikel Berkaitan:

"Ini penting kerana e-waste yang mengandungi logam-logam berat jika tidak diurus dengan baik berpotensi mencemarkan alam sekitar terutama air permukaan dan air tanah sekiranya ia dibuang ke tapak pelupusan sampah awam.

“Jika barangan ini dibakar, ia akan menghasilkan bahan pencemar udara yang merbahaya kepada kesihatan".