Pengecilan pulau jejas ekosistem laut, alam sekitar - SAM

Meenakshi (Laporan Sinar Harian)
Meenakshi (Laporan Sinar Harian)
A
A
A

GEORGETOWN - Pengumuman Kerajaan Pulau Pinang mengenai pembatalan dua buah pulau dalam Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) masih tidak boleh diterima.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, pengecilan Pulau Silikon daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar masih dikategorikan sebagai berskala besar.

Menurutnya, keluasan Pulau Silikon yang merupakan Pulau A itu juga akan menjejaskan kawasan pembiakan ikan dan merosakkan alam sekitar.

"Pengecilan skop yang diumumkan kerajaan negeri masih tidak boleh diterima kerana kesannya tetap sama iaitu akan menjejaskan ekosistem hidupan laut serta alam sekitar.

"Selain itu, kerja pengorekkan pasir akan melibatkan jumlah pasir yang sangat banyak dan ia akan melibatkan bukan sahaja perairan di Pulau Pinang malah di Perak. Kerja pengorekkan pasir ini akan menyebabkan kesan yang amat besar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Meenakshi, SAM juga kesal apabila kerajaan negeri mengatakan hanya sebilangan kecil nelayan akan terjejas dengan pengecilan skop Projek PSI tersebut.

"Tindakan kerajaan negeri mengatakan hanya sebilangan kecil nelayan akan terjejas sangat tidak betul. Ini kerana, projek tersebut akan memusnahkan dataran lumpur, terumbu karang selain menjejaskan habitat marin dan pergerakan udang.

"Ia bermakna, walau pun skop dikecilkan, projek ini tetap akan menjejaskan nelayan di sepanjang perairan Pulau Pinang, Kedah dan Perak," katanya.

Beliau menambah, tiada keperluan untuk kerajaan negeri meneruskan Projek PSI kerana Kerajaan Persekutuan telah menjanjikan suntikan dana ke dalam projek LRT.

"Tidak ada justifikasi selain Pulau Pinang mempunyai tanah 12,000 hektar di Seberang Perai seperti yang diakui sendiri oleh Ketua Menteri.

"Oleh itu, hapuskan terus Projek PSI dan bukannya mengecilkan skala pada skopnya," katanya.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan Pusat akan menambah dana dalam satu skim yang besar untuk melaksanakan perkhidmatan LRT di Pulau Pinang.

Anwar berkata, beliau akan mengadakan satu mesyuarat bersama kerajaan negeri untuk membincangkan perkara tersebut dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

Tambah Anwar, beliau juga mengarahkan supaya Projek PSI dikaji semula dan mengecilkan skopnya.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi PSI telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

Projek PSI adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.

Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Konsortium dilantik sebagai rakan pelaksanaan projek untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.