Industri balak, kumpulan alam sekitar mesti cari kaedah berkolaborasi

Gambar hiasan - Foto 123RF, gambar kecil: Nigel
Gambar hiasan - Foto 123RF, gambar kecil: Nigel
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat balak berlesen dan kumpulan alam sekitar hendaklah komited ke arah menyelesaikan perbezaan secara baik dan bekerjasama untuk menjaga alam sekitar serta kepentingan masyarakat tempatan dan orang asli.

Menurut Pengarah Eksekutif Advokasi Pribumi Sarawak Sdn Bhd (APS), Nigel Raymond, perkara itu merujuk kepada kes mahkamah antara Samling Timber Malaysia (Samling) dan Save Rivers yang mana syarikat itu telah menyaman pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar atas dakwaan memfitnah.

“Kami bimbang dengan kejadian yang membawa kepada penglibatan mahkamah berhubung isu itu, yang berkisar tentang Save Rivers yang didakwa membuat tuntutan yang tidak berasas terhadap Samling, sekali gus menyebabkan kerosakan reputasi syarikat.

“Daripada apa yang kami faham, Samling telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan perkara itu secara baik dengan menghubungi Save Rivers bagi menjelaskan perkara itu berkali-kali dan ini telah ditolak oleh NGO tersebut.

Nigel menambah, ekoran daripada hal tersebut, tiada tindakan yang boleh dibuat syarikat itu selain memfailkan saman kepada pertubuhan berkenaan.

Jelas beliau, apa yang lebih membingungkan, Save Rivers telah menggesa agar Samling menarik balik tuntutannya, sehingga menghasut sokongan daripada NGO asing dan tempatan lain dengan melabelkan kes itu sebagai Saman Strategik Menentang Penyertaan Awam atau SLAPP.

Tambahnya, meskipun pihak APS percaya mahkamah akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk membentangkan maklumat dan bukti bagi menyokong tuntutan masing-masing, cara yang paling ideal adalah mencari penyelesaian terbaik.

“Sememangnya, syarikat itu perlu berpaling kepada mahkamah untuk menjelaskan dakwaan maklumat salah yang menjejaskan reputasinya manakala NGO itu mahu menunjukkan bahawa ia komited terhadap usahanya.

“Konflik yang terbuka dan tidak berkesudahan seperti ini adalah tidak produktif dan boleh menjejaskan struktur sosio-ekonomi Sarawak secara negatif,” kata beliau.

Nigel juga berkata bahawa konflik antara NGO alam sekitar dan syarikat kayu telah berlaku selama bertahun-tahun.

“Sebagai kumpulan advokasi yang memperjuangkan pengurusan hutan lestari dan menjaga kebajikan masyarakat orang asli, APS menyokong penuh usaha NGO untuk melindungi sumber asli kita dan penduduk yang tinggal di kawasan ini.

“Bagaimanapun, sehingga kini, tiada penyelesaian praktikal yang dikemukakan oleh mana-mana NGO persekitaran yang mengimbangi keperluan untuk pertumbuhan sosio-ekonomi dengan pemeliharaan dan pemulihan sumber asli kita.

“Dengan seruan supaya menamatkan semua operasi kayu dan menyerang syarikat, penggubal dasar dan agensi awam yang menyokong perniagaan kayu boleh membawa kesan pengganda negatif kepada negeri ini.

“Syarikat kayu sejak beberapa tahun ini memainkan peranan penting dalam memperkayakan kehidupan masyarakat tempatan dan orang asli dengan menyediakan pekerjaan, membina dan membaiki infrastruktur penting seperti jalan raya, pembetung dan jambatan serta membina kemudahan seperti sekolah dan klinik,” kata beliau.

Jelas Nigel, daripada berada dalam konflik berterusan, pengusaha kayu berlesen dan kumpulan alam sekitar harus meninggalkan masa lalu dan bekerjasama ke arah masa depan yang lebih mampan.

“Sarawak komited terhadap agenda pengurusan hutan yang mampan dan menerima ekonomi ‘hijau’. Ini adalah masa yang sesuai untuk pihak berkepentingan utama supaya bekerjasama secara padu bagi melaksanakan langkah menang-menang untuk rakyat, alam sekitar dan ekonomi,” katanya.