LZS kutip, agih zakat lebih RM1 bilion tahun lalu

Syed Anwar (tengah) ditemui pemberita di sebuah hotel di Seksyen 9 di sini, pada Isnin.
Syed Anwar (tengah) ditemui pemberita di sebuah hotel di Seksyen 9 di sini, pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperoleh kutipan zakat tertinggi mencecah RM1.07 bilion dengan pengagihan sebanyak RM1.05 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2022.

Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, ini memberi manfaat kepada seramai 350, 000 individu asnaf dan pelbagai organisasi di negeri Selangor.

Menurutnya, pengagihan zakat juga merupakan yang tertinggi sejak penubuhan LZS sekali gus membuktikan komitmen agensi itu dalam memenuhi keperluan asnaf semakin meningkat di negeri ini.

"Jumlah agihan zakat ini meningkat sebanyak 13.8 peratus dari RM922 juta pada tahun sebelumnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sebuah hotel di Seksyen 9 di sini, pada Isnin.

Beliau menambah, peningkatan turut didorong keberkesanan agihan zakat dan saluran kutipan LZS dengan pelbagai usaha dilaksanakan sepanjang tahun bagi membantu golongan memerlukan.

Menurutnya, dengan kadar kemiskinan bandar semakin meningkat di Selangor, populasi golongan asnaf dijangka akan meningkat sebanyak 400,000 penerima menjelang 2025.

"Walaupun LZS mencatatkan pencapaian ketara apabila menjangkau agihan sebanyak RM1 bilion, namun kita perlu sedar keperluan agihan pada masa depan semakin meningkat harus ditangani.

"Pengagihan zakat berjaya dilaksanakan dengan berkesan berikutan sumbangan berterusan muzakki atau pembayar zakat dan kami amat menggalakkan orang ramai menunaikan kewajipan zakat mereka demi membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat asnaf," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, inflasi juga dijangka akan berterusan pada tahun ini dan akan memberi kesan kepada individu dan keluarga di kawasan bandar terutamanya mempunyai sumber kewangan terhad.

"Oleh itu, LZS akan terus meningkatkan perkhidmatan demi manfaat negeri dan rakyat dalam menguruskan keperluan masa hadapan berlatar belakangkan keadaan pasaran mencabar.

"Dalam menangani peningkatan kos sara hidup dan jangkaan peningkatan bilangan asnaf pada tahun-tahun akan datang, kami berusaha memastikan bantuan zakat sentiasa mencukupi," katanya.

Ujarnya, adalah penting untuk LZS terus berada pada landasannya melalui pengurusan cekap dan tadbir urus korporat yang kukuh serta mematuhi prinsip syariah, LZS komited menyalurkan pengagihan zakat berkesan dan memberi impak kepada komuniti.

"Paling penting, kami akan terus memacu penglibatan komuniti kerana ia merupakan teras kepada segala usaha yang dijalankan, selari dengan rangka kerja ESG kami," katanya.

Beliau turut berkata, bermula dari 1 Julai 2023, LZS akan menggunakan kadar had kifayah baharu iaitu

meningkatkannya daripada RM2,734 kepada RM2,990.

"Ini bertujuan untuk membantu lebih ramai jumlah asnaf yang berkelayakan dan memastikan mereka menerima manfaat zakat sepenuhnya," katanya.