'Siasat dalang petisyen minta Agong letak jawatan'

Muhammad Faiz (tiga, kanan) bersama wakil daripada lapan NGO membuat laporan di IPD Kuantan di sini pada Ahad.
Muhammad Faiz (tiga, kanan) bersama wakil daripada lapan NGO membuat laporan di IPD Kuantan di sini pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Lapan badan bukan kerajaan (NGO) di Pahang menggesa polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat satu petisyen yang tular melalui aplikasi WhatsApp meminta Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meletak jawatan.

Pengerusi Sekretariat NGO Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Faiz Hashim berkata, gesaan itu dibuat selepas kesemua NGO terbabit tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Menurutnya, mereka sepakat membuat laporan polis selepas tercabar dengan tindakan segelintir pihak yang cuba memburukkan imej institusi diraja yang menjadi asas Perlembagaan negara.

"Pihak yang membuat petisyen ini sungguh biadab, negara ini ada Perlembagaan, Tuanku (Al- lSultan Abdullah) merupakan ketua negara.

"Kami sanggup mati mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Kami meminta polis, KDN dan SKKM menyiasat dalang di sebalik petisyen itu dan mengheret 1,300 individu yang sudah menandatangani petisyen terbabit ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui di hadapan IPD Kuantan di sini pada Ahad.

Antara NGO yang membuat laporan polis ialah Sekretariat NGO Pemuda UMNO Malaysia (NGO'S), Kelab Anak Muda Indera Mahkota (Kami), Pertubuhan Pelestarian Bandaraya Kuantan (Lestari), Pronita Pahang dan Gabungan Anak Melayu Pahang (GAM).

Turut membuat laporan ialah Pertubuhan Gagasan 2 Generasi Anak2 Felda Bukit Goh (G2G), Skuad Bencana Pahang serta Persatuan Radio Amatur Pahang.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Faiz berkata, penyebaran petisyen terbabit diketahui selepas menerima satu pautan daripada kumpulan WhatsApp petang Sabtu.

Katanya, sebaik sahaja membuka pautan tersebut terdapat satu petisyen yang diwujudkan bagi menolak kepercayaan kepada institusi beraja.

"Kami percaya tindakan ini bertujuan menghina dan menghasut masyarakat awam supaya membenci institusi beraja di Malaysia," katanya.

"Kami mahu mereka diberikan pengajaran di atas tindakan tidak bertanggungjawab itu dan mengelakkan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan ini," ujarnya.