ST baik pulih pendawaian 114 premis berisiko tinggi litar pintas

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Mohd Elmi Anas (dua, kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Datuk Dr Ramli Mamat (kiri) melihat kesan bekas terbakar di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Ridha, Kota Bharu, pada Khamis.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Mohd Elmi Anas (dua, kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Datuk Dr Ramli Mamat (kiri) melihat kesan bekas terbakar di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Ridha, Kota Bharu, pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Suruhanjaya Tenaga (ST) telah membaik pulih sistem pendawaian elektrik di 114 premis yang berisiko berlaku litar pintas termasuk rumah asnaf, pusat tahfiz dan masjid di seluruh negara dengan jumlah peruntukan bernilai RM225,000 sepanjang tahun ini.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Mohd Elmi Anas berkata, premis-premis yang terpilih antaranya yang berisiko tinggi termasuk akibat terkena bencana banjir atau pernah berlaku kebakaran.

Katanya, pihaknya mengumpulkan maklumat yang berkaitan daripada pemimpin setempat bagi mengenal pasti premis yang mempunyai masalah pendawaian elektrik dan perlu dibaik pulih.

“Program menerusi tanggungjawab sosial koporat (CSR) oleh ST turut memilih tiga pusat tahfiz dan ada antaranya pernah mengalami kebakaran yang berpunca daripada sistem pendawaian tidak teratur.

“Mana-mana premis yang bermasalah dan tidak mengikut standard yang ditetapkan oleh ST ini dibantu untuk dibaik pulih dengan menggunakan kepakaran jurutera yang bertauliah dan dilantik oleh ST,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Ridha, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penghargaan Program Touchpoint Suruhanjaya Tenaga Kelantan dan Terengganu yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Datuk Dr Ramli Mamat.

Mohd Elmi berkata, program ST di Kelantan yang melibatkan tiga pusat tahfiz ialah di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Ridha, Maahad Tahfiz Darussalam Taman Tahfiz Al-Quran, dan Maahad Tahfiz Mifhatul Huda, Ketereh dengan setiapnya diperuntukan sebanyak RM25,000.

“Program ini juga adalah usaha ST untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai keselamatan dalam sistem pendawaian elektrik.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga nasihatkan orang ramai mendapatkan khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST untuk membuat sistem pendawaian mengikut standard ditetapkan sekali gus menjamin tahap keselamatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, orang ramai perlu cakna aspek keselamatan elektrik ketika musim tengkujuh dan banjir.

“Tutup suis utama dan peralatan elektrik sekiranya rumah ditenggelami air bagi mengelakkan arus elektrik mengalir.

“Kelalaian dan pengabaian terhadap aspek keselamatan terutama ketika banjir boleh mengundang bencana terkena renjatan elektrik yang boleh meragut nyawa,” katanya.