Bomba kenal pasti 406 kawasan berisiko berlaku kebakaran

Abdul Wahab (tiga dari kanan) bersama Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa (kanan) dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani (dua dari kanan) meninjau sambil menikmati hidangan disediakan di gerai yang mengambil bahagian pada Majlis Jalinan Mesra Ketua Pengarah JBPM di BBP Indera Mahkota di sini pada Selasa.
Abdul Wahab (tiga dari kanan) bersama Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa (kanan) dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani (dua dari kanan) meninjau sambil menikmati hidangan disediakan di gerai yang mengambil bahagian pada Majlis Jalinan Mesra Ketua Pengarah JBPM di BBP Indera Mahkota di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan 406 kawasan di seluruh negara yang berisiko berlaku kebakaran ekoran cuaca panas ketika ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, JBPM negeri diarah bersiap sedia terutama negeri-negeri yang dikenal pasti sering berlaku kebakaran tanah gambut untuk membuat langkah pencegahan dan tindakan kebakaran sekiranya berlaku.

Menurutnya, bomba peringkat negeri diarahkan membuat rondaan awal di kawasan dikenal pasti dan bekerjasama dengan agensi berkaitan khususnya Jabatan Alam Sekitar dan memantau perkembangan semasa cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

"Kita sudah bersiap menghadapi kes-kes kebakaran terbuka terutama melibatkan kawasan tanah gambut ekoran keadaan cuaca yang begitu panas kini.

"Sebagai langkah persediaan awal, semua aset yang diperlukan telah diselenggara dan berada dalam keadaan sedia digunakan untuk operasi pemadaman sekiranya berlaku kebakaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jalinan Mesra Ketua Pengarah JBPM ke JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota di sini pada Selasa.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Abdul Wahab berkata, JBPM turut merancang untuk membuat permohonan perolehan aset tambahan seperti pam air mudah alih untuk kegunaan operasi pemadaman.

"Selain itu, JBPM berkerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi mengenal pasti lokasi-lokasi baharu yang bersesuaian untuk pembinaan telaga tiub sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku kebakaran di kawasan tanah gambut ekoran cuaca panas ketika ini.

"Usaha itu telah dijalankan antara JMG dan bomba di peringkat negeri," katanya.

Menurutnya, pembinaan telaga tiub amat efektif sebagai sumber air terhampir untuk aktiviti pemadaman sekiranya berlaku kebakaran tanah gambut.

"Kaedah ini perlu memandangkan sumber air dari parit atau anak sungai di kawasan tanah gambut akan susut dan kering pada musim panas," ujarnya.