Ayam sejuk beku dari Thailand dirampas

Saiful Yazan (tiga,kanan) dan Shaharuddin (empat,kiri) menunjukkan ayam sejuk beku dari Thailand yang dirampas.
Saiful Yazan (tiga,kanan) dan Shaharuddin (empat,kiri) menunjukkan ayam sejuk beku dari Thailand yang dirampas.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Ayam sejuk beku seberat 12,608 kilogram (kg) dari Thailand yang tidak mempunyai dokumen sah telah dirampas oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dalam serbuan di sebuah stor penyimpanan bahan itu di Machang pada 5 Mac lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Makanan (Maqis) Saiful Yazan Alwi berkata, dalam rampasan itu, pihak Aksem turut menyita empat buat lori yang digunakan untuk mengangkut bahan tersebut.

"Keseluruhan nilai rampasan ini termasuk ayam sejuk beku dan empat buah lori itu dianggarkan berjumlah RM521,864," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Maqis Rantau Panjang di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Aksem, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut yang dibuat oleh pihak Aksem membawa kepada penemuan 2,134 kotak ayam sejuk beku.

Katanya, setiap kotak mengandungi ayam sejuk beku seberat 12kg.

Saiful Yazan berkata, kesemua ayam sejuk beku yang dirampas itu tidak mempunyai permit import dan sijil halal daripada badan halal yang diiktiraf dari negara pengeksport.

Artikel Berkaitan:

Katanya, susulan daripada rampasan itu pihak Aksem telah menyerahkan semua barangan tersebut kepada Maqis untuk tindakan lanjut.

Saiful Yazan berkata, kes tersebut disiasat bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Katanya, perbuatan mengimport tanpa permit sah dari Maqis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) dan 11 (3) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Saiful Yazan berkata, akta tersebut diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Katanya, penguatkuasaan undang-undang itu jelas menunjukkan seriusnya kerajaan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara.

"Kerajaan memandang serius dan mengambil berat terhadap isu-isu yang melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak merbahaya," katanya.