Kemarau: Polis perketat kawalan sempadan Malaysia-Thailand

Muhamad Zaki (tengah) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat IPD Pasir Puteh pada malam Selasa.
Muhamad Zaki (tengah) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat IPD Pasir Puteh pada malam Selasa.
A
A
A

PASIR PUTEH - Polis Kelantan terus memperketatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini susulan air Sungai Golok yang mulai kering akibat kemarau dalam usaha membanteras penyeludupan.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kawalan itu diperketatkan menerusi rondaan secara berkala oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) yang diberi tanggungjawab mengawal keselamatan sempadan.

"Tren penyeludupan masih lagi ada, cuma selepas kita melakukan tangkap secara besar-besaran ia nampak sedikit berkurangan.

"Jadi apa-apa pun, kita (polis) tidak akan terleka dan terus memperketatkan lagi kawalan keselamatan di sempadan," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini pada Selasa malam.

Menurut beliau, pada masa sama Polis Kelantan turut menjalinkan kerjasama dengan Polis Thailand dalam membendung aktiviti penyeludupan.

Ujarnya, kerjasama itu turut melalui pertukaran maklumat berkait dengan jenayah sempadan bagi memastikan kawalan sempadan Malaysia-Thailand berada pada tahap terbaik.