MAQIS gagalkan cubaan seludup 26 tan keratan ayam sejuk beku

MAQIS menggagalkan cubaan membawa masuk lebih 26 tan keratan ayam sejuk beku di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, pada Ahad.
MAQIS menggagalkan cubaan membawa masuk lebih 26 tan keratan ayam sejuk beku di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, pada Ahad.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menggagalkan cubaan membawa masuk lebih 26 tan keratan ayam sejuk beku dianggarkan bernilai RM234,000 dari negara jiran pada Ahad.

Ketua Pintu Masuk Bukit Kayu Hitam, Mohd Sukor Shafie berkata, kontena membawa 2,167 kotak keratan ayam sejuk beku dari Thailand itu ditahan ketika pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada jam 8 malam dilakukan pegawai MAQIS itu mendapati keratan ayam sejuk beku yang disusun ke dalam kontena tersebut.

"Lebih 26 tan keratan ayam dianggarkan bernilai RM234,036 ditahan untuk tindakan lanjut kerana perakuan yang mengelirukan.

"Kegagalan untuk mengemukakan maklumat yang tepat atau mengelirukan adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],"katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Shukor berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali di bawah akta sama.

Tambah beliau, MAQIS sangat komited dalam memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak.

"MAQIS tidak akan leka serta memandang mudah terhadap perkara ini dalam memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma dan makanan yang diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar," katanya.