Dua beradik maut selepas hadiri kenduri kahwin abang

Kereta dinaiki dua beradik bertembung dengan lori di Manik Urai, Kuala Krai pada Ahad.
Kereta dinaiki dua beradik bertembung dengan lori di Manik Urai, Kuala Krai pada Ahad.
A
A
A

KUALA KRAI - [DIKEMASKINI] Kenduri perkahwinan abang menjadi majlis terakhir dihadiri oleh dua beradik apabila mereka maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 89, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran simpang Manek Urai, di sini, pada petang Ahad.

Mangsa maut ialah penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh, Johor, Wan Abdul Azim Wan Zamani, 25, yang memandu kereta jenis Proton Saga dan abangnya, Wan Abdullah, 34, yang duduk di kerusi penumpang hadapan.

Pemandu lori jenis Hino iaitu lelaki berusia 45 tahun pula tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, dua beradik tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada badan dan kepala.

Menurutnya, sebelum kejadian, Wan Abdul Azim dan Wan Abdullah dalam perjalanan menghala ke Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur selepas menghadiri kenduri perkahwinan abang mereka di Bachok.

“Kereta dipandu Wan Abdul Azim dari arah Manek Urai menghala ke arah Kuala Krai dan sampai di lokasi kejadian secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan serta melanggar sebuah lori.

“Akibat daripada perlanggaran tersebut, kedua-dua mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Suzaimi berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

“Kemalangan berpunca daripada kereta yang hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan berlanggar sebuah lori sehingga menyebabkan kematian.

“Siasatan bagaimanapun masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menggunakan alat pemisah dan pemotong besi bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.

“Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 3.59 petang dan setibanya di lokasi kejadian mendapati kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Saga dan lori seberat 10 tan.

"Mereka yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dapat dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.