Dua beradik maut motosikal terlanggar belakang lori

Dua beradik maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlanggar bahagian belakang sebuah lori di KM257.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, pagi Jumaat.
Dua beradik maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlanggar bahagian belakang sebuah lori di KM257.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, pagi Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Dua beradik maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 257.4 Lebuhraya Utara - Selatan arah selatan, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 7.05 pagi itu, Mohd Husaini Amir Harun, 29, yang merupakan penunggang motosikal dan adiknya Muhammad Amirul Syafiq Harun, 25 yang beralamat di Kampung Pengkalan Batu, Kuala Terengganu meninggal dunia akibat cedera parah

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila sebuah lori jenis Hino membawa muatan makanan haiwan yang dipandu seorang lelaki berumur 49 tahun seorang diri sedang bergerak di lorong kiri lebuh raya itu dari arah Pulau Pinang menuju ke arah Melaka.

“Namun sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha yang dinaiki dua beradik dari arah lorong kecemasan telah mengubah haluan dan masuk ke lorong kiri sebelum melanggar bahagian belakang lori tersebut.

“Insiden itu mengakibatkan kedua-dua mangsa penunggang dan pembonceng motosikal mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,"katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, kedua-dua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.