Warga emas maut, 3 cedera nahas 3 kereta, lori

Anggota bomba mengangkat warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 80, Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam dekat Kluang pada Isnin. - Foto ihsan bomba Johor
Anggota bomba mengangkat warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 80, Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam dekat Kluang pada Isnin. - Foto ihsan bomba Johor
A
A
A

KLUANG - Seorang warga emas maut manakala tiga lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 80, Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam, dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Assisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada jam 9.45 pagi itu melibatkan kereta Proton Iswara; Mazda; Proton Pesona dan sebuah lori jenis Hino.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Iswara dari arah Ayer Hitam menghala ke Simpang Renggam manakala dua kereta dan lori berkenaan dari arah Simpang Renggam menghala ke Ayer Hitam.

"Proton Iswara secara tiba-tiba masuk ke lorong sebelah dan melanggar tayar belakang lori berkenaan. Akibat perlanggaran itu, Proton Iswara berpusing lalu bertembung dengan Mazda yang berada di belakang lori.

"Sementara Proton Pesona sempat mengelak Proton Iswara dan Mazda. Bagaimanapun, Proton Pesona itu telah melanggar serpihan kemalangan yang berada di jalan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, pemandu Proton Iswara, Soh Moi Choi, 67, beralamat di Simpang Renggam, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala pemandu Mazda, Madmozely-Liza, 30, patah tangan sebelah kiri manakala ibunya, Saodah, 72, yang duduk di hadapan cedera di badan dan anak saudara warga emas tersebut, Muhammad Shamer Az Zikri, 22, cedera ringan.

Menurut Bahrin, Saodah dan Muhammad Shamer kini dirawat di Zon Kuning Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba Nizar Mamun berkata, tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kemalangan tersebut mengakibatkan pemandu Proton Iswara tersepit dan pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas Res-Q Tools. Mangsa yang lain tidak tersepit.

"Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis. Operasi tamat pada jam 11.30 pagi," katanya.