Wajibkan vaksin: Kerajaan teliti sasaran umur, jenis vaksin

Dr Dzulkefly Ahmad. -Foto Bernama
Dr Dzulkefly Ahmad. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti kebolehlaksanaan tindakan mewajibkan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak di negara ini dengan mengambil kira sasaran umur yang sesuai dan jenis vaksin yang perlu diambil.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam satu Jawatankuasa Kerja (Task Force) yang ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan dan implikasi yang berkaitan, sebelum satu kertas cadangan kepada jemaah menteri disediakan.

"KKM sedang dalam proses untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak, ini termasuk agensi kerajaan, agensi swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang berkaitan dalam meneliti isu-isu dan perkara yang perlu dimasukkan dalam kertas cadangan kebolehlaksanaan tindakan untuk mewajibkan imunisasi,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) berhubung pendirian kementerian untuk mewajibkan vaksinasi kanak-kanak berikutan kenaikan kes difteria di Johor.

Antara lain yang turut diteliti ialah tanggungjawab ibu bapa, pusat jagaan, taman asuhan dan sekolah, tanggungjawab penyedia perkhidmatan imunisasi, pengecualian, fi perkhidmatan, penalti dan penguatkuasaan.

Dr Dzulkefly berkata sehingga kini, pelbagai program dan aktiviti advokasi telah dijalankan di semua peringkat bagi menangani isu keraguan serta penolakan vaksin itu, termasuk bekerjasama dengan NGO, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pejabat Mufti negeri untuk membetulkan pandangan masyarakat terutama tentang hukum dan fatwa berkaitan imunisasi.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Adham Baba (BN-Tenggara) yang ingin tahu situasi bekalan vaksin di hospital kerajaan dan swasta, Dr Dzulkefly memberi jaminan bekalan di kedua-dua sektor itu mencukupi. -Bernama

Artikel Berkaitan: