Pengurusan bencana negeri diminta segera senarai lengkap kerosakan

Abd Latiff beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin di sini pada Jumaat.
Abd Latiff beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengarahkan pihak pengurusan bencana ​negeri yang terlibat banjir

menghantar senarai lengkap kerosakan infrastruktur awam akibat bencana itu dengan segera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, ia bertujuan membolehkan kerajaan mempercepatkan kelulusan dan bantuan bagi membaikpulih kemudahan awam.

"Mereka memerlukan data mengenai semua kerosakan infrastruktur awam dan rumah. Penggerak di bawah ini (pemimpin bawahan) lebih arif kawasan mereka yang terjejas.

"Kalau sudah dapat data ini (kerosakan), kita boleh mempercepatkan proses mendapat bantuan infrastruktur daripada kerajaan pusat," katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin di sini pada Jumaat.

Dr Abd Latiff berkata, senario banjir melanda ibu negara lima hari lalu memberi pengalaman baharu kepada semua agensi yang terlibat.

"Sejujurnya, ini adalah pengalaman pertama kita mengurus banjir di tempat padat, banyak kediaman dalam pembangunan rumah yang tersusun.

"Cara mengurus banjir juga berbeza dengan kawasan mendatar, kampung tradisi dengan kawasan padat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meminta media memainkan peranan menyampaikan ramalan cuaca kepada orang ramai supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kita minta media selalu ingatkan dengan mengeluarkan info grafik dalam bentuk fakta kepada rakyat secara berulang-ulang kali sehingga berakhir Monsun Timur Laut pada Mac tahun depan.

"Kalau kita saling mengingat, semuabadan kawal selia, anggota yang terlibat dengan operasi banjir dapat diingatkan kembali dan kita belajar daripada kesilapan ketika mengurus banjir," ujarnya.