RM15 juta tingkat infrastruktur jeti, kompleks nelayan

Muhammad Faiz (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM225,000 bagi program peningkatan pendapatan nelayan kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Selangor, Omar Abdul Rahman (kanan) pada Majlis Rahmah Mesra Madani bersama LKIM di Jeti Nelayan Sungai Buloh Jeram di sini pada Rabu.
Muhammad Faiz (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM225,000 bagi program peningkatan pendapatan nelayan kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Selangor, Omar Abdul Rahman (kanan) pada Majlis Rahmah Mesra Madani bersama LKIM di Jeti Nelayan Sungai Buloh Jeram di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan menyalurkan sebanyak RM15 juta pada tahun ini bagi projek kemudahan infrastruktur jeti dan kompleks nelayan di seluruh negara.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM10.6 juta diperuntukkan bagi menaik taraf empat kompleks pendaratan ikan.

Menurut beliau, sebanyak RM2.4 juta lagi disalurkan bagi kerja-kerja menaik taraf lapan jeti sedia ada.

"Dalam peruntukan itu juga, kerajaan menyediakannya sebanyak RM2 juta bagi membina lima jeti nelayan baharu," katanya ketika ditemui pada Majlis Rahmah Mesra Madani bersama LKIM di Jeti Nelayan Sungai Buloh Jeram di sini pada Rabu.

Muhammad Faiz berkata, kerajaan amat prihatin dengan nasib nelayan dan sentiasa berusaha meningkatkan lagi peruntukan sedia ada seterusnya menggalakkan nelayan keluar menangkap ikan.

"Kita berharap lebih ramai nelayan dapat manfaat dan memberi dorongan kepada mereka untuk lebih aktif menangkap ikan serta membela nasib golongan ini yang banyak membantu negara," ujar beliau.

Selain itu, katanya, LKIM juga menyediakan peruntukan khas berjumlah RM500,000 bagi projek pembaikan kecil jeti nelayan.

Sehingga kini, ujar beliau, terdapat lebih 10 permohonan itu dikemukakan di seluruh negara meliputi bantuan baik pulih bumbung dan mengecat jeti.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan ini diberikan semasa saya membuat lawatan dan melihat sendiri keperluan di setiap jeti," tambahnya.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz menegaskan, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal tohmahan pembangkang kononnya mahu menghapuskan segala subsidi dan bantuan kepada golongan nelayan.

"Terbukti selepas sembilan bulan jadi kerajaan, semua subsidi nelayan masih diteruskan dan ditambah dengan program peningkatan produktiviti B40

"Tuduhan dibuat sebelum ini bahawa kerajaan tidak mementingkan kebajikan rakyat tidak betul kerana apa yang dibuat hari ini lebih banyak program berbentuk kebajikan rakyat dilaksanakan," katanya.