Jangan guna laluan berisiko hakisan tanah

Jambatan Kampung Lada terhakis teruk akibat limpahan air lebih lima meter.
Jambatan Kampung Lada terhakis teruk akibat limpahan air lebih lima meter.
A
A
A

KUALA KRAI - Orang ramai dinasihatkan tidak menggunakan beberapa laluan yang ditutup selepas berlaku hakisan bagi mengelakkan bencana.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Guchil Hilmi Abdullah berkata, pihaknya ambil maklum mengenai beberapa laluan utama yang kini sudah ditutup akibat rekahan tanah dan hakisan selepas berlaku limpahan air Sungai Kelantan di Kuala Krai sejak Jumaat lalu.

Katanya, penutupan dilakukan sejak beberapa hari lalu bagi memastikan orang ramai tidak terdedah dengan bahaya kerana berhampiran dengan Sungai Kelantan di Kuala Krai.

"Antara laluan yang ditutup ialah di Jambatan Kampung Lada. Jambatan ini menjadi laluan utama penduduk di Kampung Kubang Lebur, Aur Duri, Dusun Nyiur dan Ladang Mengkebang untuk ke bandar Kuala Krai.

"Laluan kedua pula ialah di Jalan Asrama di kampung yang sama berhampiran pengkalan feri Batu Lada.

"Selain itu, lokasi ketiga ialah jalan runtuh di tebing sungai berdekatan Jambatan Bukit Tukul di Aur Duri. Jambatan ini merupakan satu-satu jambatan yang menghubungkan Kampung Aur Duri, Ladang Mengkebang dan Dusun Nyiur dan digunakan juga oleh pelajar Ladang Taku untuk ke sekolah," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurutnya, amaran penutupan jalan telah diletakkan berhampiran ketiga-tiga lokasi berkenaan bagi memastikan orang ramai maklum mengenai kejadian berkenaan selain sudah dimaklumkan kepada pihak yang terlibat dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, laluan tersebut kebanyakannya digunakan sebagai jalan alternatif untuk menghubungkan pengguna ke bandar Kuala Krai kerana lebih cepat berbanding jalan utama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penduduk Kampung Lada, Ibrahim Che Mud, 70, terkejut apabila dimaklumkan jambatan Kampung Lada kira-kira 200 meter dari rumah sewanya rosak.

Katanya, dia yang baharu sahaja tinggal di kawasan berkenaan beberapa bulan lalu kini terpaksa menggunakan alternatif lain untuk ke Hospital Kuala Krai bagi mendapatkan rawatan sakit jantung yang dihidapi.

"Sebelum ini saya tinggal di Kampung Bahagia tetapi berpindah sini kerana mahu mengelakkan banjir selain memudahkan urusan ulang- alik ke hospital untuk dapatkan rawatan.

Nor Shaarul Akmar Ibrahim, 42, mengetahui kejadian rekahan dan hakisan berkenaan pagi Selasa dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga jika terpaksa berpindah ke lokasi yang lebih selamat.

Dia juga bimbang jika keadaan berterusan, berlaku limpahan air di rumahnya yang terletak berhampiran jambatan itu.

"Buat masa sekarang ini air sudah surut namun kita perlu sentiasa bersedia kerana banjir di Kelantan biasanya ada beberapa gelombang. Ini mungkin baru gelombang pertama," katanya.