Aras air sungai masih di paras amaran, waspada

Beberapa bacaan aras air di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor mulai turun tetapi masih berada di paras amaran dan waspada. (Gambar hiasan)
Beberapa bacaan aras air di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor mulai turun tetapi masih berada di paras amaran dan waspada. (Gambar hiasan)
A
A
A

PUTRAJAYA - Aras air sungai di beberapa negeri yang terlibat banjir dilaporkan masih berada di paras amaran dan waspada, menurut Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada Selasa.

Menerusi satu kenyataan, KASA berkata, beberapa bacaan aras air di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor mulai turun tetapi masih berada di paras amaran dan waspada.

Di Kelantan, kebanyakan bacaan paras air berada di paras waspada namun Sungai Golok di Jajahan Pasir Mas masih berada di paras bahaya.

“Di Terengganu, Johor, Perak, Melaka dan Sarawak pula keadaan masih lagi terkawal dengan kebanyakan bacaan berada di paras waspada dan amaran.

Bagi Pahang, aras air beberapa kawasan di Temerloh dan Bera menunjukkan trend menaik dan berada di paras bahaya. Penduduk-penduduk yang berada di lokasi bahaya diminta untuk bersedia dan berpindah jika diarahkan,” katanya.

Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), aras waspada merujuk kepada aras air sungai mula meningkat daripada aras normal manakala aras amaran menunjukkan air sungai menghampiri aras banjir dan perlu bersedia untuk membuat perpindahan jika perlu.

Aras bahaya pula menunjukkan aras air sungai mula melimpah serta boleh menyebabkan banjir dan perpindahan perlu dilaksanakan jika perlu.

Banjir melanda Lembah Klang sejak Sabtu lepas susulan hujan lebat berterusan menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pengguna jalan raya terkandas akibat laluan terjejas kerana dinaiki air.

Artikel Berkaitan:

Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan serta Perak, manakala Sarawak yang telah mengalami episod banjir pada awal Sept lepas, dijangka mengalami fenomena itu sekali lagi.

Mengenai situasi banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, KASA berkata, JPS sedang melakukan kerja mengepam keluar air dari taman itu ke Sungai Klang dan dianggarkan sebanyak 30,000 meter padu air berjaya dikeluarkan sehingga kini.

“Dua unit pintu air berhampiran juga telah dibuka memandangkan paras air Sungai Klang mulai surut,” katanya sehingga petang sebahagian kawasan di Taman Sri Muda mulai surut secara berperingkat dan dijangka pulih dalam tempoh 72 jam.

KASA berkata, JPS sedang menunggu 11 unit pam tambahan daripada JPS Kelantan, Perlis dan Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal (BPME) Ipoh, Perak yang akan digunakan di lokasi-lokasi banjir genang di sekitar Selangor.

Mengenai amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan negeri-negeri di utara, KASA berkata, penumpuan angin di negeri itu dijangka berpotensi membawa hujan yang berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.

Sebelum itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama di Perak, yang berkuat kuasa sehingga Selasa.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah menerusi kenyataan di Facebook berkata, ia susulan lekukan Tropika yang dicerap di perairan Sumatera sedang bergerak ke timur menghampiri utara Semenanjung. - Bernama