Amaran ribut petir, hujan lebat di beberapa negeri

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir bagi beberapa kawasan di Semenanjung dan Sabah sehingga jam 5 petang Rabu.

Antara kawasan di Semenanjung termasuk Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah serta seluruh Pulau Pinang.

Bagi Perak pula ia melibatkan Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.

Kawasan Pantai Timur merangkumi beberapa buah daerah di Pahang iaitu Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bera dan Rompin dan Terengganu (Besut serta Setiu).

Amaran turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di negeri selatan iaitu Jempol di Negeri Sembilan dan Mersing di Johor.

Di Sabah pula, ia dijangka berlaku di Pedalaman (Sipitang, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat (Ranau).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter perjam yang hampir atau jangka berlaku melebihi sejam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

MetMalaysia juga memaklumkan yang amaran itu adalah sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.