Perak bentang pindaan RUU Mahkamah Syariah

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Perak) (Pindaan) 2021 sempena Persidangan Keenam, Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14, di sini pada Jumaat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, RUU itu melibatkan penambahbaikan 13 peruntukan sedia ada dan menambah lima peruntukan baharu bagi memperkemaskan perjalanan dan pengurusan Mahkamah Syariah Perak.

Menurutnya, penambahbaikan dari semasa ke semasa berkaitan prosedur dan pengurusan Mahkamah Syariah perlu sentiasa dikemaskini supaya kedudukan serta martabatnya sentiasa dihormati sebagai institusi kehakiman syariah yang berwibawa di negeri ini.

"Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Perak) (Pindaan) 2021 dibentangkan pada Jumaat bertujuan untuk menambahbaik peruntukan-peruntukan sedia ada khususnya berkenaan syarat pelantikan Hakim-Hakim di hirarki tertinggi Mahkamah Syariah, bidang kuasa, perjalanan kuasa serta punca kuasa bagi penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh dan perkhidmatan elektronik di Mahkamah Syariah.

"Ini bagi memastikan pelaksanaan fungsi kehakiman Syariah dapat dilaksanakan secara efisyen dan berkesan selaras dengan perkembangan teknologi serta perubahan semasa," katanya ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua di Dewan Negeri Perak, di sini.

Sementara itu, Saarani berkata, melalui peruntukan RUU yang dicadangkan itu, peruntukan baharu dan penambahbaikan yang dibuat bertujuan memperkukuhkan prosedur perjalanan kes-kes Mahkamah Syariah bagi mengelakkan kelewatan penyelesaian akibat daripada tangguhan-tangguhan yang tidak perlu.

Katanya, ia juga dapat memperluaskan skop pemilihan jawatan hakim-hakim Mahkamah Syariah hirarki tertinggi agar hakim-hakim yang dilantik mempunyai kelayakan yang bersesuaian, berpengalaman luas dan berkemahiran dari segi perundangan dan hukum syarak.

Menurutnya, pengenalan penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam prosiding kes dapat dilaksanakan sebagai alternatif kepada kehadiran secara bersemuka di dalam mahkamah terbuka atau dalam kamar hakim selaras dengan pengenalan normal baharu bagi menghalang penularan virus Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Pembangunan sistem perkhidmatan elektronik di Mahkamah Syariah akan memberi ruang pembaharuan ke arah modenisasi sistem pernyampaian dan pengurusan kes di Mahkamah Syariah.

"Pembaharuan ini selaras dengan pembangunan teknologi digital semasa dan seiring dengan dasar pendigitalan sektor perkhidmatan awam di negeri Perak," katanya.

Dalam pembentangan RUU berkenaan, antara peruntukan baharu ialah di bawah Fasal 14 Seksyen 35A berhubung Kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk memberi perkenan kepada mana-mana Hakim Mahkamah Utama Syariah menjalankan kuasa kehakiman dalam keadaan ketiadaan atau kekosongan sementara jawatan Ketua Hakim Syarie.

Selain itu, Fasal 15 memperuntukkan peruntukan baharu Seksyen 36A dan 36B berhubung perjalanan prosiding melalui teknologi komunikasi jarak jauh dan perkhidmatan elektronik di Mahkamah Syariah.

Bagi pindaan pula, antara yang terlibat adalah Fasal 8 dan Fasal 11 yang memperuntukkan pindaan terhadap Seksyen 22 dan Seksyen 29 Enakmen Mahkamah Syariah berhubung pemansuhan kuasa pendengaran Permohonan Kebenaran Merayu di Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Utama Syariah di hadapan seorang Hakim dan memberikan kuasa pendengaran prosiding di hadapan korum Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Utama Syariah.

Begitu juga Fasal 12 yang memperuntukkan pindaan terhadap Seksyen 30 Enakmen Mahkamah Syariah berhubung pelanjutan tempoh kebenaran merayu di Mahkamah Utama Syariah.

RUU Mahkamah Syariah (Perak) (Pindaan) 2021 akan dibahaskan dalam Dewan Negeri pada 20 Disember depan untuk dibahaskan sebelum diluluskan.