Selesai manifesto bukti janji ditunai di DUN Paya Rumput - Rais

Rais berkata, kejayaan menunaikan keseluruhan manifesto bukanlah noktah kepada perjuangan.
Rais berkata, kejayaan menunaikan keseluruhan manifesto bukanlah noktah kepada perjuangan.
A
A
A

PAYA RUMPUT – Sejak diberi mandat memimpin Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berjaya menunaikan keseluruhan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat sejak diberi mandat memimpin DUN tersebut.

Ini sekali gus membuktikan komitmen beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu dalam merealisasikan janji kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Rais berkata, manifesto yang digariskan semasa Pilihan Raya Negeri lalu merangkumi lapan teras utama, melibatkan penyelesaian isu banjir, pemerkasaan ekonomi rakyat, peningkatan taraf pendidikan, capaian internet, perumahan kos rendah, infrastruktur masjid, kemudahan kesihatan serta aspek keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

Beliau berkata, dalam aspek penyelesaian banjir, pelaksanaan Projek Empangan Durian Tunggal–Krubong bernilai ratusan juta ringgit yang sedang berjalan serta kerja-kerja naik taraf sistem perparitan di beberapa kawasan berisiko tinggi telah memberi kelegaan jangka panjang kepada ribuan penduduk yang sekian lama terjejas akibat masalah tersebut.

"Bagi pemerkasaan ekonomi rakyat, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk penyusunan semula penjaja, pengoperasian lokasi niaga terancang serta pengukuhan ekosistem peniaga kecil dan sederhana bagi memastikan peluang ekonomi yang lebih mampan dan inklusif kepada penduduk setempat," katanya.

Beliau berkata, sektor pendidikan pula menjadi antara keutamaan utama apabila beberapa buah sekolah baharu berjaya dibangunkan dan beroperasi di DUN Paya Rumput, selain pembinaan sekolah agama, tabika serta pemberian insentif pendidikan kepada pelajar secara konsisten setiap tahun.

"Langkah ini bertujuan memastikan tiada anak Paya Rumput tercicir daripada arus pendidikan," katanya.

Pada masa yang sama, katanya, liputan dan kelajuan internet yang sebelum ini menjadi aduan utama penduduk turut ditangani melalui pembinaan puluhan menara telekomunikasi baharu.

"Ia sekali gus meningkatkan capaian internet berkelajuan tinggi di seluruh kawasan DUN Paya Rumput," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah, katanya, manifesto perumahan kos rendah turut direalisasikan melalui kelulusan projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu yang bakal menyediakan ratusan unit rumah kepada penduduk yang layak.

"Aspek keagamaan dan kemasyarakatan pula diperkukuh dengan pembinaan masjid baharu serta naik taraf kompleks masjid sedia ada, manakala kemudahan kesihatan dipertingkat melalui penyediaan perkhidmatan ambulans percuma dan kelulusan pembinaan klinik kesihatan baharu bagi memudahkan akses rawatan kepada penduduk," katanya.

Sementara itu, katanya, manifesto berkaitan keselamatan dan kesejahteraan awam turut direalisasikan apabila pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, balai polis baharu serta perumahan anggota diluluskan, sekali gus memperkukuh tahap keselamatan di DUN Paya Rumput.

Menurut beliau, kejayaan menunaikan keseluruhan manifesto itu bukanlah noktah kepada perjuangan, sebaliknya menjadi amanah berterusan untuk terus bekerja demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Pencapaian tersebut turut dilihat sebagai bukti bahawa kepimpinan yang berteraskan keikhlasan, perancangan rapi dan kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi pelaksana serta masyarakat mampu membawa perubahan nyata kepada sesebuah kawasan," katanya.

Dengan rekod pencapaian itu, beliau akan terus menampilkan imej sebagai pemimpin yang menepati janji, konsisten bekerja dan berorientasikan hasil, selari dengan aspirasi pembangunan negeri Melaka dan kesejahteraan rakyat Paya Rumput.

"Segalanya Demi Paya Rumput. Paya Rumput, rumah kita," katanya.

Ringkasan AI

  • Datuk Rais Yasin berjaya menunaikan keseluruhan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat Paya Rumput sejak memimpin DUN
  • Manifesto melibatkan isu banjir, ekonomi, pendidikan, internet, perumahan, infrastruktur masjid, kesihatan, dan keselamatan
  • Projek Empangan Durian Tunggal-Krubong dan naik taraf sistem perparitan ditujukan untuk isu banjir
  • Pelbagai inisiatif untuk pemerkasaan ekonomi rakyat dilaksanakan termasuk penyusunan semula penjaja
  • Pencapaian ini dilihat sebagai bukti kepimpinan berteraskan keikhlasan dan kerjasama erat antara pemerintah dan masyarakat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!