Bot karam: Satu mayat ditemukan terapung

Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia mengusung satu mayat lelaki yang dipercayai mangsa bot karam Tanjung Balau di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pengerang dekat Tanjung Batu Layar hari ini. - Foto Bernama
Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia mengusung satu mayat lelaki yang dipercayai mangsa bot karam Tanjung Balau di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pengerang dekat Tanjung Batu Layar hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Satu lagi mayat lelaki dipercayai mangsa insiden bot karam Tanjung Balau, ditemukan terapung berdekatan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Tanjung Batu Layar, di sini, kira-kira lima batu nautika dari lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor Kepten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, mayat berkenaan dijumpai berpakaian lengkap tanpa kasut dan berdasarkan pemerhatian, mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih dua hari.

Beliau berkata mayat berkenaan ditemukan oleh nelayan kira-kira 9.50 pagi dan akan dibawa ke rumah mayat untuk dibedah siasat dan proses pengecaman.

"Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa seorang mangsa bot karam yang terselamat tempoh hari dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi. Punca kematian masih dalam proses tindakan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita di LKIM di sini pada Jumaat.

Simon berkata, mangsa yang selamat itu meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada pukul 4.15 pagi.

Simon dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, sektor pencarian meliputi Tanjung Balau hingga Tanjung Penawar.

Sebanyak tiga pesawat udara digerakkan bagi pencarian udara pada Jumaat melibatkan sebuah helikopter AW139 daripada Maritim Malaysia, sebuah helikopter Pasukan Gerakan Udara dan helikopter Mi-17 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Menurutnya, pencarian di laut akan melibatkan lima aset laut iaitu sebuah kapal maritim KM Tegas selaku ‘On Scene Coordinator’, sebuah bot tentera laut dan tiga aset polis marin iaitu sebuah kapal dan dua bot.

Artikel Berkaitan:

Simon berkata, pencarian di pesisir pantai diteruskan oleh agensi lain terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, bomba, polis dan juga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Operasi SARmelibatkan seramai 128 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi.

Dengan penemuan dan status terbaru itu, jumlah korban bot karam meningkat kepada 21 orang dan yang masih hilang dikhuatiri melebihi 17 orang.

Pada tragedi pagi Rabu, seramai 50 pendatang tanpa izin warga Indonesia dilaporkan terlibat dalam insiden bot karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi. - Bernama