Mayat lelaki tidak sempurna ditemukan terapung

Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat itu. - Gambar hiasan
Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat itu. - Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Mayat lelaki dalam keadaan tidak sempurna ditemukan terapung di Sungai Lusut berhampiran Rumah Gira di Sungai Sebedil, Batang Igan dekat sini pada jam 11.30 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisiten Komisioner Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, mayat itu dijumpai dekat tebing sungai dalam keadaan tidak berbaju dan hanya memakai seluar jean pendek berwarna biru.

"Keadaan mayat sudah mulai mereput dan dipercayai meninggal dunia lebih seminggu,” katanya dan menambah mayat itu telah ditemukan oleh orang awam yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis.

Zulkipli berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat itu.

Mayat terbabit telah dibawa ke rumah mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

Beliau menyeru orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga untuk menghubungi balai polis terdekat atau pegawai penyiasat Sarjan Suriya Wasli menerusi talian 013-8855533 atau Bilik Gerakan IPD Sibu 084-364373.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. - Bernama