Mayat lelaki ditemui dalam parit dipercayai dibunuh

Mayat lelaki ditemukan orang awam tertiarap dalam parit di Rungkup, Teluk Intan pada Rabu. - Foto ihsan polis
Mayat lelaki ditemukan orang awam tertiarap dalam parit di Rungkup, Teluk Intan pada Rabu. - Foto ihsan polis
A
A
A

TELUK INTAN - Mayat seorang lelaki ditemukan tertiarap dalam parit di Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh, Rungkup di sini, pada Rabu dipercayai dibunuh.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mayat lelaki itu ditemukan orang awam dalam keadaan mereput sekitar jam 4.48 petang.

"Siasatan mendapati lelaki terbabit memakai baju warna merah dan berseluar pendek ditemui dengan beberapa kesan luka di bahagian tangan, kaki dan leher.

"Bagaimanapun bangsa dan status kewarganegaraannya masih belum dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, bedah siasat dijalankan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

"Bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan luka potongan pada kepala dan leher.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi balai Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Muhammad Nazrin Nasir di talian 019-9146370 atau salurkan maklumat di balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan: