Warga Bangladesh nyaris terlondeh kain lari operasi Imigresen

PATI cuba menyorok di kawasan semak bagi menggelak diri ditangkap dalam operasi bersepadu itu.
PATI cuba menyorok di kawasan semak bagi menggelak diri ditangkap dalam operasi bersepadu itu.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki warga Bangladesh nyaris terlondeh kain selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan Jabatan Imigresen Melaka dalam operasi bersepadu di rumah kongsi pekerja asing di Alor Gajah di sini, pada Khamis.

Difahamkan lelaki berkenaan cuba untuk meloloskan diri ke dalam semak namun berjaya ditahan dalam operasi bermula jam 7.30 malam hingga 6 pagi itu yang disertai seramai 27 anggota penguat kuasa.

Pengarahnya, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, dalam operasi sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah itu, seramai 235 pendatang asing serta orang awam telah diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 152 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan.

Menurutnya, enam lokasi yang diserbu termasuk pusat urut refleksologi dan rumah pekerja asing di tapak pembinaan sekitar Daerah Alor Gajah.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan India.

"Seramai lapan orang tempatan turut diperiksa dan diberi notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Anirwan Fauzee berkata, ketika serbuan dilakukan di Bachang Permai mendapati kesemua penghuni sedang nyenyak tidur sehingga tidak mendengar ketukan pintu dari pegawai serbuan.

Katanya, dalam operasi itu seramai 95 PATI pelbagai warganegara berumur antara 11 tahun hingga 50'tahun ditahan dan dibawa ke pejabat Imigresen Bahagian Penguatkuasaan untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan, kesemua ditahan kerana tidak memiliki pas yang teratur," katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan PATI yang dikenal pasti dalam operasi itu ialah tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini, pas lawatan kerja sementara telah tamat tempoh dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

"Kesemua tahanan akan menjalani ujian saringan Covid -9 sebelum di hantar ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut," jelasnya.