Teknologi menoreh musim hujan tak sesuai

Kameruzaman
Kameruzaman
A
A
A
MACHANG - Teknologi torehan seperti alat pelindung hujan (rain gutter) dan Sistem Torehan Berintensiti Rendah (LITS) yang membolehkan aktiviti menoreh getah dapat diteruskan walaupun pada musim tengkujuh memerlukan pemantauan rapi dan tidak sesuai untuk pekebun kecil.

Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab Rahman berkata, penggunakan teknologi tersebut boleh dipraktikkan di ladang-ladang besar yang dikawal selia oleh mandor tetapi kurang berkesan kepada pekebun-pekebun kecil.

Katanya, sekalipun penggunaan pelindung hujan telah digunakan oleh pekebun-pekebun kecil mahupun ladang di kebanyakan negara pengeluar getah lain seperti India dan Vietnam dan ianya terbukti telah meningkatkan kadar keboleh-torehan pokok getah pada masa musim hujan namun masih asing di negara ini tambahan pula memerlukan kos yang tinggi selain kurang pendedahan.

Tambahnya, dalam keadaan harga getah yang rendah pada hari ini, rata-rata pekebun kecil tidak mampu mengusahakan kaedah tersebut.

"Teknologi yang ada ini hanya membolehkan pokok boleh ditoreh selepas hujan. Maksudnya, aliran air hujan tidak terkena panel torehan kerana dihalang pelindung dan tiada hujan turun selepas ditoreh.
Artikel Berkaitan:


"Apabila hujan turun selepas ditoreh, ia akan menyebabkan hasil torehan rosak dan tak dapat dikutip. Dalam masa yang sama, pekebun juga perlu faham konsep torehan musim hujan jika tidak , ia akan memudaratkan pokok," katanya kepada Sinar Harian.