Sembilan premis kotor di Machang diarah tutup 14 hari - JKNK

Sebanyak 56 premis termasuk kedai makan dan restoran telah diperiksa - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Dr Zaini)
Sebanyak 56 premis termasuk kedai makan dan restoran telah diperiksa - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Dr Zaini)
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) bertindak menutup sembilan premis menjual makanan di Machang selama 14 hari yang didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang telah ditetapkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata, tindakan dilakukan hasil Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 08/2023 Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan yang melibatkan seramai 62 kakitangan jabatan itu di daerah tersebut pada Rabu.

"Dalam operasi tersebut, sebanyak 56 premis termasuk kedai makan dan restoran telah diperiksa.

"Sebanyak 86 notis saman di bawah Seksyen 32B, Memerintahkan Kehadiran di mahkamah telah dikeluarkan ke atas pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dr Zaini berkata, antara kesalahan terbanyak yang dikesan adalah berkaitan pakaian pengendali makanan dengan 63 notis saman dikeluarkan.

"23 lagi kesalahan yang dikesan adalah tidak mempamerkan Perakuan Pendaftaran dalam premis makanan, tidak mematuhi kehendak yang berhubungan dengan tugas am tuan punya, pemilik atau penghuni premis makanan, kebersihan pengendali makanan, keadaan kesihatan pengendali, gagal mengekalkan kebersihan premis dan lain-lain.

"Kesemua notis saman di bawah Seksyen 32B, boleh dibayar kompaun dalam tempoh satu bulan dari tarikh notis dikeluarkan,” katanya.

Dr Zaini berkata, pemilik premis makanan yang tidak mematuhi perintah penutupan premis makanan adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"JKNK ingin menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis makanan dan pengendali premis makanan untuk memastikan premis mereka bersih setiap masa,’ katanya. - Bernama