Kos keseluruhan rangkaian liputan 5G dianggarkan RM12.5 bilion

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez - Foto Bernama
Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kos keseluruhan bagi perkakasan dan infrastruktur rangkaian liputan 5G negara dianggarkan berjumlah RM12.5 bilion, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa.

Beliau berkata, kos itu dianggarkan selepas Digital Nasional Bhd (DNB) menjangkakan RM1.5 bilion lagi diperlukan bagi gentian telekomunikasi tambahan selama 10 tahun daripada Telekom Malaysia disebabkan infrastruktur gentian telekomunikasi dalam negara yang berada pada tahap lebih rendah daripada dijangkakan.

Menurutnya, anggaran awal kos rangkaian liputan 5G berjumlah RM11 bilion.

"Daripada jumlah itu, RM4 bilion adalah bagi perkakasan rangkaian dan perkhidmatan diuruskan selama 10 tahun oleh Ericsson, RM6 bilion bagi kos infrastruktur rangkaian daripada pembekal lain iaitu bagi menara, gentian telekomunikasi, tenaga elektrik dan kos-kos lain, manakala RM1 bilion untuk bayaran fi Penguntukan Radas (‘Apparatus Assignment’) kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat) mengenai pembekal-pembekal, kontraktor serta syarikat-syarikat yang terlibat dalam implementasi teknologi 5G dan kos keseluruhan bagi peralihan teknologi.

Katanya, selain Ericsson yang telah dilantik sebagai pembekal perkakasan rangkaian, para pembekal, kontraktor dan syarikat yang akan terlibat dalam pelaksanaan rangkaian 5G secara umumnya terdiri daripada pemilik tapak, pemilik gentian telekomunikasi serta pembekal tenaga elektrik.

"Bagi pelaksanaan di bawah Fasa 1A pada 2021, pihak DNB sedang melaksanakan rundingan untuk melantik pembekal, kontraktor dan syarikat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: