“Pulang” sentuh jiwa, angkat nilai kekeluargaan, semarak perpaduan

KUALA LUMPUR – Usaha memupuk perpaduan nasional terus diperkasakan apabila Kementerian Perpaduan Negara tampil dengan filem pendek istimewa berjudul “Pulang” sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, sebuah karya sarat emosi yang mengangkat nilai kasih sayang, kehilangan dan makna sebenar sebuah keluarga dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Kementerian dalam satu kenyataan berkata, filem tersebut mengisahkan perjalanan hidup seorang pemandu teksi warga emas, Uncle Lim yang terperangkap dalam kesunyian selepas kehilangan isteri dan anak akibat terlalu mengejar tuntutan kerja sehingga mengabaikan keluarga.
"Namun, takdir menemukan beliau dengan pelbagai insan daripada latar berbeza yang akhirnya membuka kembali pintu hatinya terhadap nilai kasih dan kebersamaan," kata kenyataan itu pada Jumaat.
Kekuatan filem ini terserlah menerusi lakonan penuh penghayatan Lee Kah Chun atau Abdul Rahman Lee yang membawakan watak Kai, seorang suami dan bapa penyayang berasal dari Sabah.
Watak Kai digambarkan sebagai lelaki yang tenang, matang dan sarat empati. Kehadirannya bukan sekadar penumpang biasa, malah menjadi pencetus perubahan emosi dalam diri Uncle Lim.
Dalam satu babak yang menyentuh perasaan, Kai tanpa ragu menjemput warga emas itu untuk bersama keluarganya menikmati makan besar Tahun Baharu Cina — satu tindakan kecil yang sarat makna kemanusiaan.
Penghayatan watak yang bersahaja namun mendalam menampilkan nilai ihsan, hormat dan keterbukaan, sekali gus mencerminkan wajah generasi Malaysia yang menjadikan perpaduan sebagai amalan hidup.
Kelembutan wanita, pengikat keharmonian
Turut memperkukuh penceritaan ialah watak Jia, isteri kepada Kai yang berasal dari Sarawak. Watak tersebut digambarkan sebagai wanita lembut tutur kata dan tinggi nilai keprihatinan.
Pertanyaannya yang ringkas, “Uncle tak balik kampung ke?” membuka ruang kepada kisah duka Uncle Lim yang sudah dua tahun tidak menyambut perayaan bersama keluarga.
Nada suaranya yang lembut melambangkan empati generasi muda terhadap golongan lebih tua.
Watak Jia mencerminkan peranan wanita sebagai tunjang keharmonian keluarga serta jambatan yang menyatukan nilai tradisi dengan semangat kebersamaan merentas budaya dan wilayah.
Kepelbagaian sebagai kekuatan
Menurut kementerian, filem ini turut menampilkan wajah-wajah masyarakat Malaysia yang pelbagai sebagai simbol keharmonian negara.
Sapaan mesra seorang penumpang lelaki India, diikuti kehadiran wanita Melayu yang fasih bertutur bahasa Mandarin, menggambarkan realiti kehidupan rakyat yang saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.

"Perkongsian bahasa dan budaya menjadi jambatan yang merapatkan jurang perbezaan," kata kenyataan kementerian itu lagi.
Setiap watak yang ditampilkan membawa mesej jelas bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya realiti yang hidup dalam kehidupan harian masyarakat.
Dari kesunyian ke sinar harapan
Antara babak paling menyentuh perasaan ialah paparan “8 Missed Calls – Anak” pada skrin telefon Uncle Lim, simbol penyesalan yang tidak mampu ditebus.
Namun, sinar harapan kembali apabila Jun, anak kecil Kai dan Jia, menghulurkan sebiji limau sambil mengucapkan “Gong Xi Fa Cai, Uncle”.

"Sentuhan kecil itu menjadi lambang bahawa kasih sesama insan masih mampu menyinari kehidupan walaupun kehilangan tidak terganti," kata kenyataan itu.
Adegan tersebut menegaskan bahawa keluarga bukan sekadar ikatan darah, tetapi juga terjalin melalui nilai kemanusiaan dan keikhlasan.
Perpaduan bermula dari hati
Filem ini menutup kisah dengan mesej bahawa walaupun insan tersayang telah tiada, kasih sayang tetap menerangi jalan pulang dan daripada kasih sesama manusia lahirlah perpaduan.
Filem pendek “Pulang” boleh ditonton melalui platform media sosial @aaronagodagang serta saluran rasmi Kementerian Perpaduan Negara.
Lebih daripada sekadar filem perayaan, “Pulang” merupakan cerminan realiti masyarakat Malaysia — bahawa dalam kepelbagaian budaya, bahasa dan latar belakang, rakyat negara ini tetap berkongsi nilai yang sama iaitu keluarga, kasih sayang dan harapan sebagai asas perpaduan negara.
Ringkasan AI
- Kementerian Perpaduan Negara Malaysia mengeluarkan filem pendek "Pulang" untuk sambutan Tahun Baharu Cina 2026, berfokus pada nilai kasih sayang dan keluarga dalam masyarakat majmuk
- Filem itu menceritakan tentang Uncle Lim, seorang pemandu teksi yang mengalami kesunyian setelah kehilangan isteri dan anak, namun menemukan semula makna kasih sayang melalui interaksi dengan pelbagai latar belakang masyarakat
- Lakonan Lee Kah Chun sebagai Kai menonjolkan nilai empati, keterbukaan dan ihsan, simbol perpaduan antara generasi Malaysia
- Watak Jia, isteri Kai, mewakili peranan wanita dalam menyatukan keluarga dan nilai-nilai keharmonian lintas budaya
- Filem ini mengetengahkan kepelbagaian budaya dan bahasa Malaysia sebagai kekuatan yang menyatukan rakyat, mempromosikan perpaduan dari hati serta menyatakan bahawa perpaduan adalah realiti dalam kehidupan harian masyarakat Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
