Kes baharu Covid-19 turun kepada 3,900 kes

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jumlah kes baharu Covid-19 kembali menurun kepada 3,900 kes pada Rabu berbanding 4,097 kes pada Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kes kumulatif Covid-19 kini sebanyak 2,703,140.

“Daripada 3,900 kes tersebut, sebanyak 97.8 peratus atau 3,814 kes adalah daripada kategori satu dan dua manakala 86 kes atau 2.2 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima.

"Bagi kes sembuh pula, sebanyak 4,552 kes dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh 2,615,162 kes. Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) ialah 384 kes dengan 213 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, tujuh lagi kluster baharu dikenal pasti, menjadikan jumlah kluster aktif kini 246.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“KKM juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Berdasarkan kes yang dilaporkan juga, beliau memaklumkan nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara setakat Selasa mencatatkan angka 1.00, dengan Negeri Sembilan mencapai Rt tertinggi iaitu 1.02, diikuti Melaka dan Pahang masing-masing (1.01) serta Perlis, Pulau Pinang dan Labuan, masing-masing (1.0).

Artikel Berkaitan:

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 akan dimuat naik ke laman web CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.