Pertemuan unik antara Anwar, Nassuruddin dan Sanusi

Sanusi bersalaman dengan Anwar sambil menundukkan kepala ketika menyambut kedatangan beliau di Alor Setar bagi pengerusikan Taklimat Pembangunan Negeri Kedah pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim
Sanusi bersalaman dengan Anwar sambil menundukkan kepala ketika menyambut kedatangan beliau di Alor Setar bagi pengerusikan Taklimat Pembangunan Negeri Kedah pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

SEJAK beberapa hari lalu ada beberapa situasi unik dan jarang berlaku dalam sejarah politik negara.

Situasi pertama ialah kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Kota Bharu.

Kedua-dua pemimpin tersebut mengadakan pertemuan tertutup dan difahamkan antara perkara yang dibincangkan ialah masalah air, kemiskinan, jalan raya dan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang.

Anwar pula turut mengumumkan beberapa berita gembira seperti pembelian 20 unit pam air membabitkan nilai RM20 juta untuk kegunaan di Kelantan disegerakan dan menambah 400 meter lagi landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Ia sebagai persediaan untuk menjadikan lapangan terbang itu bertaraf antarabangsa dan membolehkan rakyat di negeri itu terbang terus ke Makkah dan Madinah untuk menunaikan ibadah umrah pada masa depan.

Kemudian disusuli pula dengan ucapan Mohd Nassuruddin pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar, Bandar Baru Tunjong berkata, berpolitik hanya ketika pilihan raya sahaja.

Anwar (kanan) bersama Mohd Nassuruddin (kiri) pada Rumah Terbuka Madani 2024 peringkat negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung pada Khamis. Foto Bernama
Anwar (kanan) bersama Mohd Nassuruddin (kiri) pada Rumah Terbuka Madani 2024 peringkat negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung pada Khamis. Foto Bernama

Situasi kedua ialah apabila Perdana Menteri menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar.

Artikel Berkaitan:

Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

Menariknya ialah sekeping gambar yang menunjukkan Sanusi bersalaman dengan Anwar sambil menundukkan kepala, dan ini sekali lagi memberikan satu lagi gambaran yang unik.

Sanusi kemudian dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di Tasik Darulaman, Jitra, mengambil kesempatan untuk memohon maaf atas ketelanjuran kata terhadap kepimpinan Anwar.

Jika suasana harmonis ini diteruskan oleh kedua-dua pihak baik kerajaan dan juga pembangkang, maka kita ada harapan tinggi untuk melihat negara ini dapat dipulihkan daripada bencana ekonomi yang melanda dunia pada masa ini.

Bergaduh dan berperanglah dengan hebat dalam medan yang betul seperti di Parlimen, Dewan Undangan Negeri atau pilihan raya tetapi pada masa yang lain hentikanlah politik kepentingan yang tidak menguntungkan rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Disyorkan