Perak terima banyak cadangan bina ladang solar di lombong terbiar

Saarani ketika menjawab soalan lisan dan soalan tambahan yang dikemukakan ADUN. Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
Saarani ketika menjawab soalan lisan dan soalan tambahan yang dikemukakan ADUN. Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menerima banyak cadangan dan permintaan daripada syarikat berkaitan bagi tujuan membina ladang solar di kawasan lombong-lombong terbiar di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui pembinaan ladang solar di kawasan lombong terbiar memberi pelbagai manfaat.

Menurut beliau, bagaimanapun perkara itu bergantung kepada kejayaan syarikat berkenaan membida lesen daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

"Saya mengesahkan memang ada banyak kebaikan dan faedah jika lombong-lombong ini dibina solar farm dan ia sebenarnya bergantung kepada kejayaan syarikat-syarikat berkenaan membida lesen daripada SEDA.

"Jika mereka berjaya membida, maka kawasan tersebut bolehlah dirunding dengan kerajaan negeri melalui agensi-agensi kerajaan untuk diusahakan bersama dengan syarikat yang berkenaan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Amanah-Sungai Rapat) ketika Persidangan Keempat, Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri bersedia untuk mengkaji serta meneroka potensi lombong-lombong yang terbiar dengan mengambil kira keadaan geografi dan kepentingannya khusus di kawasan Manjoi.

Menurutnya, kajian itu penting agar aktiviti yang dirancang tidak mendatangkan implikasi negatif kepada masyarakat setempat.

"Bergantung kepada ulasan terperinci daripada jabatan teknikal berkaitan, lombong-lombong terbiar yang berpotensi boleh dimajukan sebagai kawasan ternakan akuakultur, rekreasi dan eko-pelancongan bagi menjana sumber pendapatan serta ekonomi penduduk tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Namun demikian, semua cadangan ini tertakluk kepada sama ada lombong-lombong tersebut akan diwartakan sebagai kolam takungan air di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara atau pun tidak," katanya menjawab soalan lisan Datuk Asmuni Awi (Amanah-Manjoi).