Kerajaan Sabah ialah GRS, PH dan BN - Hajiji

No Image Caption
A
A
A

PAPAR - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kerajaan yang dipimpinnya ketika ini hanya membabitkan kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan juga sebahagian pemimpin daripada Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, beliau tidak menolak sebarang cadangan baik daripada pihak lain demi perpaduan Sabah dan rakyat di negeri ini.

"Kita terbuka dalam hal untuk kebaikan negeri Sabah tetapi sekarang ini seperti mana yang kita sedia maklum kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan antara GRS, PH dan juga BN.

"Kerana dalam BN pun ada beberapa parti, ada parti yang menyokong kerajaan ini, ada parti dalam sana tarik sokongan kepada kerajaan jadi cukuplah saya katakan BN.

"Jadi yang lain itu, kita satu kerajaan yang terbuka dalam apa juga cadangan-cadangan yang baik untuk perpaduan rakyat dan juga Sabah," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatannya ke Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal daripada Parti Warisan (Warisan) yang melihat kerjasama Warisan dan GRS tidak mustahil akan berlaku jika kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama untuk berkhidmat kepada rakyat dan negeri Sabah.

Bagaimanapun Mohd Yusof dilaporkan berkata, bahawa perkara itu perlu dirujuk kepada Majlis Tertinggi untuk dipertimbangkan.

Sebelum itu, Warisan yang dipimpin oleh abangnya, Datuk Seri Mohd Shafie merupakan parti yang berada dalam kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat manakala di peringkat negeri mereka berada di dalam blok pembangkang.

Artikel Berkaitan: