Peter Anthony diperintah bela diri palsukan surat pejabat UMS

Peter diperintah untuk membela diri atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
Peter diperintah untuk membela diri atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony membela diri atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tujuh tahun lalu.

Hakim, Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Setelah mempertimbangkan keterangan saksi pendakwaan dan hujahan bertulis, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atas pertuduhan dihadapi tertuduh.

“Justeru, tertuduh diperintahkan membela diri atas pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan,” kata hakim berkenaan.

Hakim Azura kemudian menetapkan lima hari untuk Anthony membela diri mulai 3 Januari tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malalap berkenaan diberi tiga pilihan untuk membela diri dan beliau memilih memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Peter diwakili peguam, Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin.

Peter, 50, didakwa sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 11 Julai 2014.

Artikel Berkaitan:

Dokumen itu didakwa mempunyai pernyataan palsu kononnya UMS telah mengadakan kolaboratif dengan Syarikat Asli Jati Engineering, yang menyaksikan syarikat itu bersetuju membiayai dan mendirikan sebuah pusat Latihan Teknikal (M&E), serta pihak UMS menyokong penuh permohonan syarikat tersebut bagi melaksanakan kerja-kerja secara rundingan terus.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 17 Julai 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peter turut didakwa atas pertuduhan alternatif, iaitu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen membabitkan dokumen sama bagi membiayai dan mendirikan sebuah pusat M&E di tempat dan tarikh sama, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.