Didakwa edar dadah, dua sahabat diarah bela diri

Mohamad Raiyan (dua dari kiri) dan Mohamad Fierdaus diiringi polis di Mahkamah Tinggi Seremban pada Rabu.
Mohamad Raiyan (dua dari kiri) dan Mohamad Fierdaus diiringi polis di Mahkamah Tinggi Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi Seremban di sini pada Rabu memerintahkan dua sahabat membela diri berhubung pertuduhan mengedar dadah seberat 171 gram empat tahun lalu.

Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Mohamad Raiyan Faiz Abdullah, 27, dan Mohamad Fierdaus Ridwan, 29, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui apa-apa keraguan munasabah.

"Pihak pendakwaan berjaya buktikan setiap satu elemen pendengaran iaitu pemilikan dan pengedaran sebenar tanpa bersandarkan atas apa-apa tangkapan undang-undang.

"Maknanya beban kepada kes pembelaan adalah hanya untuk membangkitkan sesuatu keraguan yang munasabah," katanya.

Beliau kemudian memberikan tiga pilihan kepada kedua-dua tertuduh untuk membela diri iaitu memilih untuk berdiam diri, beri kenyataan di kandang saksi atau membuat kenyataan bersumpah.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh memilih untuk memberi keterangan bersumpah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat bersama pada 27 Mac 2019 jam lebih kurang 11 malam, di tempat letak kereta di sebuah hotel di Seremban telah didapati mengedar dadah jenis heroin seberat 140 gram dan monoacetylmorphines seberat 31 gram.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama dengan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Azizul kemudian menetapkan 14,16 dan 17 November depan untuk sambung bicara.

Peguam, Mohd Fahmi Jamil yang mewakili Mohamad Fierdaus memaklumkan akan memanggil dua orang saksi iaitu tertuduh dan seorang saksi awam.

Peguam, Munirah Najihah Shaari yang mewakili Mohamad Raiyan pula memberitahu akan mengemukakan tiga saksi iaitu tertuduh dan dua orang saksi awam.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ala'udin Baharom.