Pengawal keselamatan diarah bela diri kes edar dadah

Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengarahkan seorang bekas pengawal keselamatan membela diri atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah tiga tahun lalu. - Gambar hiasan
Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengarahkan seorang bekas pengawal keselamatan membela diri atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah tiga tahun lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengarahkan seorang bekas pengawal keselamatan membela diri atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah tiga tahun lalu.

Hakim, Datin Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.

Beliau turut memberi tiga pilihan kepada tertuduh, S Sivasangaran, 26, untuk membela diri sama ada secara keterangan bersumpah, keterangan tidak bersumpah atau berdiam diri.

Bagaimanapun, tertuduh memilih untuk memberi keterangan bersumpah dan mahkamah menetapkan tarikh untuk pendengaran pada 28 hingga 30 Ogos depan.

Tertuduh diwakili peguam Muhammad Syafiq Stewart Abdullah dan Nur Achinta Ezyana Sufian dan pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ala'udin Baharom.

Mengikut pertuduhan, Sivasangaran pada 19 Februari 2020 di Taman Sri Ramai, Rantau telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 413.3 gram.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, tertuduh pada tarikh dan lokasi sama didapati memiliki dadah jenis kanabis seberat 9.03 gram.