Buli: Wujudkan undang-undang khusus

Satu undang-undang khusus berkaitan perbuatan buli terhadap pelajar perlu diwujudkan demi mengatasi semua jenis buli baik secara mental, emosi dan fizikal.Gambar hiasan
Satu undang-undang khusus berkaitan perbuatan buli terhadap pelajar perlu diwujudkan demi mengatasi semua jenis buli baik secara mental, emosi dan fizikal.Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Satu undang-undang khusus berkaitan perbuatan buli terhadap pelajar perlu diwujudkan demi mengatasi semua jenis buli baik secara mental, emosi dan fizikal.

Pensyarah Undang-Undang, Perlembagaan dan Hak Asasi, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, ketika ini tiada undang-undang khusus untuk perbuatan buli.

Menurut beliau, ini termasuk sama ada dalam undang-undang jenayah seperti Kanun Keseksaan mahupun undang-undang sivil seperti Akta Pendidikan 1996, malah tiada undang-undang yang memberikan definisi ‘buli’.

“Banyak pihak telah menyuarakan perlunya dipinda Akta Pendidikan 1996 ataupun mewujudkan sebuah akta khas, seperti yang dibuat oleh beberapa negara seperti di Amerika Syarikat, untuk mengawal dan mengekang kejadian buli di sekolah.

“Sudah sampai masanya buli dalam kalangan kanak-kanak di sekolah dihapuskan. Antara langkah yang boleh diambil ialah dengan membuat polisi dan undang-undang khusus bertujuan menghapuskan semua jenis buli sama ada secara mental, emosi dan fizikal terhadap kanak-kanak,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN:Buli: Empat pelajar ditahan bantu siasatan

ARTIKEL BERKAITAN:Buli: Dua lagi pelajar ditahan

ARTIKEL BERKAITAN: Mara diarah lakukan siasatan terperinci kes buli pelajar

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, buli di alam siber dalam kalangan kanak-kanak juga banyak terjadi dan tidak semua buli berlaku secara fizikal atau di pekarangan sekolah. Sebaliknya, ia juga boleh berlaku di internet, di luar mata umum.

“Pada masa ini, Malaysia tidak mempunyai sebarang undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap pembuli dalam talian, bagaimanapun memandangkan buli siber semakin berleluasa undang-undang untuk menghukum pembuli siber sewajarnya sudah digubal.

“Bagaimanapun, ada beberapa peruntukan undang-undang yang menyediakan sedikit perlindungan daripada bahaya dalam talian. Menghantar mesej ugutan boleh menjadi satu kesalahan jenayah di bawah Akta Komunikasi & Multimedia Malaysia 1998 atau Seksyen 503 Kanun Keseksaan Malaysia yang berkaitan dengan ugutan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, sama ada tindakan undang-undang terhadap perbuatan buli boleh dibawa ke mahkamah atau tidak, ia bergantung pada fakta kes dan kecederaan yang dialami serta akibat kecederaan yang dialami.

Katanya, dalam situasi tertentu, buli hanya melibatkan kes atau undang-undang sivil sahaja. Namun, dalam keadaan tertentu ia berkemungkinan melibatkan bukan saja kes sivil, malah juga kes jenayah.

“Namun begitu berdasarkan peruntukan sedia ada di negara kita bukan semua jenis buli dibawa ke mahkamah. Hanya buli yang melampau sahaja yang berhadapan dengan tindakan mahkamah.

“Membuli dengan melibatkan kecederaan pada tubuh badan adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dakwa di bawah Kanun Keseksaan. Pembuli akan didakwa di mahkamah dalam perbicaraan jenayah.

“Jika melibatkan pembuli di bawah umur, maka akan dibicarakan di mahkamah kanak-kanak. Sekiranya pembuli/pesalah berumur di bawah 18 tahun tetapi berumur 10 tahun ke atas, mengikut seksyen 11 Akta Kanak-Kanak 2001 dia akan dibicarakan sebagai bawah umur di Mahkamah Khas Bagi Kanak-Kanak,” katanya.

Menurut beliau, di bawah undang-undang sivil, seseorang boleh menuntut ganti rugi (pampasan wang) daripada seseorang yang telah menyebabkan mudarat terhadap dirinya.

“Dalam kes buli, mangsa buli boleh membuat tuntutan terhadap pembuli di bawah Undang-Undang Tort. Akibat daripada tindakan secara sengaja atau cuai, maka seseorang itu boleh tercedera dan satu tuntutan menerusi Undang-Undang Tort yang juga sering dirujuk sebagai Undang-Undang Kecederaan Peribadi (Personal Injury Laws),” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis Perak siasat video buli pelajar sekolah

ARTIKEL BERKAITAN:Tujuh pelajar, mangsa dipanggil beri keterangan