Tiada tolak ansur individu teroka tanah secara haram: MB Pahang

Wan Rosdy ketika sesi pergulungan perbahasan sidang DUN Pahang disini pada Jumaat.
Wan Rosdy ketika sesi pergulungan perbahasan sidang DUN Pahang disini pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang tidak akan bertolak ansur terhadap isu penerokaan tanah haram kerana pemilikan tanah oleh seseorang individu harus diselesaikan mengikut lunas perundangan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehubungan itu semua wakil rakyat di negeri tersebut diminta memberi penerangan dan pencerahan perundangan dan etika kepada mereka yang terlibat penerokaan tanah haram.

"Ini (memberi penerangan) adalah tanggungjawab sebagai pemimpin iaitu mengajak rakyat untuk hormat undang-undang.

"Saya amat kecewa apabila melihat ada di antara kita (wakil rakyat) seperti menyokong dan berada di pihak peneroka haram. Betul, kita harus menjadi suara kepada rakyat, tetapi bak kata orang lama, kalau nak menurut biarlah berakal. Kalau nak mengikut biarlah pintar," katanya ketika sesi menggulung perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dan kerajaan Pahang akan menerima peruntukan sebanyak RM2.1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk memperbaiki Perkhidmatan Bekalan Air di seluruh Pahang.

Beliau berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi Paip yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM4 bilion.

“Oleh kerana ia melibatkan kos besar, perancangan ini perlu dilakukan secara berperingkat. Kos yang besar ini merangkumi keperluan untuk menjamin sumber air mentah, meningkatkan kapasiti Loji Rawatan Air, menaiktaraf sistem simpanan dan penggantian paip jenis Asbestos Cement (AC) di samping memastikan kadar air tidak terhasil (NRW) yang mampan.

“Setakat ini, Paip dan Kerajaan Negeri Pahang mendapat sejumlah peruntukan RM2.1 bilion yang telah diluluskan,” kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambah Wan Rosdy, perbelanjaan Pembiayaan Capital Expenditure (CAPEX) untuk menyempurnakan infra bekalan air memerlukan perbelanjaan amat besar menyebabkan kerajaan Persekutuan memperkenalkan Program Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air.

"Penstrukturan ini melibatkan penubuhan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) iaitu pembiayaan kerja kerja CAPEX, syarikat syarikat air negeri termasuk PAIP akan dilakukan di bawah PAAB. Pihak paip bercadang membina tangki pra-mendapan bagi tujuan mengatasi masalah kekeruhan air mentah terlampau tinggi.

"Cadangan tersebut dipersetujui dan seterusnya melantik Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang (JPS) sebagai agensi pelaksana projek tersebut," katanya.