ECRL: Kerajaan Pahang tidak ambil tanah sewenang-wenangnya

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan kerajaan negeri tidak akan mengambil tanah sewenang-wenangnya tanpa berjumpa pemilik tanah termasuk dalam pelaksanaan Projek Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini.

"Setiap perkara ada proses, ada tatacara... saya tiada maklumat lengkap (buat masa ini) tetapi saya akan jawab pada sesi penggulungan nanti.

"(Tetapi) tidak mungkin kerajaan dapat ambil tanah tanpa berjumpa pemiliknya. Mungkin ada salah faham atau salah komunikasi,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa mencelah perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu pada berhubung dakwaan pengambilan tanah untuk projek ECRL tanpa makluman awal kepada pemiliknya, pada perbahasan usul menjunjung titah diraja Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Andansura mendakwa, kejadian itu berlaku di sebuah kampung di Chendor di sini, apabila penduduk 'dikejutkan' dengan kehadiran perunding yang memaklumkan tanah mereka telah diambil bagi pelaksanaan ECRL, sehingga menimbulkan keresahan tentang masa depan mereka.

"Kami menyambut baik dan berterima kasih kepada projek pembangunan, tetapi ia perlu dilaksanakan dengan baik. Antara perkara yang perlu ditambah baik ialah layanan kerajaan negeri terhadap pihak terlibat. Penduduk kampung mengatakan tanah mereka diambil tapi malangnya tiada satu wakil kerajaan beritahu mereka.

"Bila pihak ketiga (perunding) yang hadir, terkejut orang kampung dan mereka datang berjumpa saya menangis, memikir mana hendak duduk... saya mohon dapat diberikan sedikit pertimbangan sebelum dimuktamadkan. Kena tambah baik cara layan dan cara berkomunikasi dengan penduduk supaya tidak timbul persepsi negatif atau hal lain," katanya.

Sementara itu, ADUN Tanah Rata, Ho Chi Yang memohon pertimbangan kerajaan negeri supaya mengurangkan kos sewaan tanah pertanian dan memanjangkan tempoh sewaan tanah kepada pekebun di Cameron Highlands, bagi mewujudkan ekosistem pertanian lebih stabil, meringankan beban dan membantu mereka ke arah pertanian lestari.

Katanya, sejak 2020, pekebun ditawarkan sewaan berdaftar yang dikeluarkan Pahang Corporation Sdn Bhd pada kadar RM4,500 seekar (kira-kira 0.4 hektar) setahun, berbanding RM884 seekar yang ditetapkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) sebelum itu.

Bagi tempoh sewaan, kerajaan negeri menawarkan tempoh selama tiga tahun dengan opsyen penyambungan dua tahun (tiga+dua tahun) yang lebih panjang berbanding setahun di bawah LPS.

"Bagaimanapun, kadar sewaan RM4,500 seekar setahun adalah agak tinggi dan membebankan pekebun kerana melibatkan peningkatan 500 peratus. Kebanyakan pekebun terutamanya yang berskala kecil berhadapan pelbagai cabaran seperti harga sayur yang tidak stabil dan bergantung kepada pelbagai faktor terutamanya cuaca.

"Pada masa sama, tempoh sewaan tiga+dua tahun masih tidak dapat memberi jaminan yang mencukupi. Apabila pekebun khuatir dengan keselamatan pegangan tanah, kebanyakan mereka tidak akan melabur modal dan masa untuk menggunakan kaedah atau teknologi canggih untuk meningkatkan hasil," katanya.

Selain itu, Chi Yang yang merupakan ADUN paling muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang memohon kerajaan negeri untuk mengkaji semula larangan pemanduan kenderaan barangan di sebahagian laluan di Jalan Tapah-Cameron Highlands bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang setiap Jumaat hingga Ahad, kerana memberi kesan kepada rangkaian logistik sayur.

"Terdapat lebih kurang 3,000 kebun di Cameron Highlands dan rangkaian sayurnya amat rumit. Gangguan masa berisiko menjejaskan masa perjalanan yang diperlukan selain memudaratkan kualiti dan kesegaran sayur. Larangan ini juga dikhuatiri mengurangkan bekalan sayur di pasaran, seterusnya meningkatkan harga ekoran bekalan tidak mencukupi," katanya.

Persidangan bersambung esok. - Bernama