X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

Najib khianat kepercayaan rakyat: Hakim Mahkamah Rayuan

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - “Datuk Seri Najib Razak mengkhianati kepercayaan rakyat apabila terlibat dengan penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd,” kata panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis.

Dalam keputusan penghakiman setebal 317 muka surat, tiga panel hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menyatakan, Najib selaku perayu bukan sahaja melanggar amanah diberikan rakyat, malah mengkhianatinya.

Menurut panel hakim itu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2020 atas sabitan dan hukuman hukuman 12 tahun penjara, denda RM210 juta terhadap Najib sudah mengambil kira pelbagai faktor.

Katanya, mahkamah sudah mengimbangi (mengambil kira) kepentingan peribadi perayu dengan kesalahan yang dilakukan terhadap negara.

Panel hakim turut memetik kata-kata Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) dalam kes pendakwa raya lawan Shahrul Azuwan Adanan dan Anor, ia adalah perkara yang sepatutnya difikirkan oleh pesalah sebelum melakukan kesalahan.

Selain itu, panel hakim turut memetik kata-kata Hakim Mahkamah Persekutuan, Almarhum Sultan Azlan Shah melalui penghakimannya dalam kes rayuan pendakwa raya lawan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris.

"Petikan itu berbunyi: 'Saya ulangi apa yang saya katakan sebelum ini... undang-undang tidak pilih kasih'.

"Adalah mustahil untuk mengabaikan hakikat bahawa di mata berjuta rakyat negara ini, anda adalah seorang patriot dan pemimpin.

“Anda mempunyai setiap peluang untuk mencapai tahap pencapaian tertinggi, namun anda membenarkan ketamakan merosakkan anda.

"Tidak dapat difahami bagaimana seorang dalam kedudukan kamu tidak dapat menggunakan hati nurani, menerima rasuah.

"Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja mengkhianati kepentingan parti anda, yang mana anda pertahankan, tetapi juga sumpah jawatan yang anda ambil dan laksanakan di hadapan Raja Berdaulat, dan yang paling utama adalah undang-undang di mana anda adalah hambanya," kata panel hakim.

Najib
Najib

Dalam pada itu, panel hakim turut menyentuh isu hubungan Najib dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut hakim, pihak peguam yang mewakili Najib telah mengemukakan teori bahawa Jho Low telah memanipulasi akaun banknya sehingga menyebabkan RM42 juta mengalir ke akaun banknya.

Oleh itu, dalam kes ini, katanya, perayu menyatakan telah dipergunakan oleh Jho Low dan kononnya oleh pihak bank sehingga wujud kesalahan pecah amanah.

Namun, perkara itu dipatahkan dengan hujahan bahawa sudah menjadi nyata apabila perayu dengan mudah mengakui bahawa dialah yang telah mengarahkan Jho Low bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Seri Azlin Alias dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Menurutnya, ia bagi memastikan terdapat dana yang mencukupi dalam akaun untuk digunakan.

“Oleh itu, adalah jelas bahawa Jho Low dan rakan-rakannya adalah anak buah perayu yang mematuhi arahannya.

“Sudah terlalu lewat untuk berpura-pura tidak tahu dan menjauhkan diri daripada rancangan besar menggunakan dana SRC untuk tujuannya sendiri,” katanya.

Selain itu, panel hakim turut mendapati pembelaan Najib berhubung sumbangan derma daripada keluarga Diraja Arab Saudi adalah lebih dongeng daripada Hikayat 1001 Malam.

“Tiada bukti bahawa RM42 juta itu datangnya, atau mungkin daripada raja Arab Saudi, dan tiada sebarang asas munasabah untuk perayu membentuk kepercayaan itu, sedangkan sudah dibuktikan dana itu adalah daripada SRC.

“Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertolak ke Arab Saudi untuk menyiasat perkara itu tetapi gagal mendapat sebarang pengesahan daripada penderma Arab yang dikatakan sebagai bukti boleh diterima di mahkamah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Kronologi kes SRC

Keputusan rayuan kes SRC Najib dibaca menerusi Zoom

Mahkamah Persekutuan ‘talian hayat’ terakhir

Najib gagal hadir, mahkamah beri pilihan penjara atau zoom

Permohonan Najib hanya lambatkan keputusan rayuan: Pendakwaan

Najib kekal bersalah

Terkuburkah karier politik Bossku?


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!