Syed Saddiq sepatutnya disabitkan bersalah- Hakim Abu Bakar

Abu Bakar Jais dan Syed Saddiq.
Abu Bakar Jais dan Syed Saddiq.
A
A
A

PUTRAJAYA – Presiden Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin berpandangan bahawa, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sepatutnya disabitkan atas tiga pertuduhan salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) dana Armada.

Semasa membaca keputusan menentang, Datuk Seri Abu Bakar Jais berkata, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu berusia 34 tahun itu didapati menyalahgunakan wang RM120,000 secara tidak jujur.

Menurutnya, Syed Saddiq selaku responden telah mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, 36, memindahkan wang daripada akaun Maybank Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) ke akaun peribadinya.

“Wang berkenaan bukan milik Syed Saddiq sebaliknya sumbangan penderma yang dikumpulkan bagi tujuan kempen pilihan raya dan tidak boleh digunakan sesuka hati.

“Dana itu daripada akaun ABBE kemudiannya dimasukkan ke akaun pelaburan Amanah Saham Bumiputera atau ASB milik Syed Saddiq,” katanya.

Walaupun wang tersebut dikumpulkan untuk kempen pilihan raya, beliau berkata, bekas Menteri Belia dan Sukan itu mengarahkan pemindahan dibuat sebelum tempoh kempen bermula.

Abu Bakar berpendapat, unsur penyalahgunaan secara tidak jujur terbukti kerana penderma tidak pernah dimaklumkan bahawa wang tersebut akan digunakan sebagai bayaran balik kepada Syed Saddiq.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan majoriti 2-1, Syed Saddiq kekal bebas

 'Kami tahu perancangan Syed Saddiq, harap dapat diteruskan'- Hakim berseloroh

Artikel Berkaitan:

'Terima kasih sayang-sayang rakyat Malaysia' - Ibu syukur Syed Saddiq lepas, bebas

 Bella tetap bersama walaupun dalam tempoh saya masih pesalah' - Syed Saddiq

'Nasi minyak is coming soon!' - Space Dollah

Keluarga Syed Saddiq jamu nasi lemak, lempeng kepada media dan petugas mahkamah

'Doakan undang-undang lindungi semua, sama ada kawan atau lawan' - Syed Saddiq

Katanya, wang berkenaan dikatakan sebagai bayaran perbelanjaan yang telah ditanggung responden sebelum aktiviti kutipan derma kempen pilihan raya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagi pertuduhan ketiga membabitkan kes AMLA, hakim berkata, kes tersebut turut terbukti kerana wang RM120,000 dan RM50,000 yang dimasukkan ke akaun Maybank kemudian dipindahkan ke akaun ASB.

Hakikatnya beliau berkata, dana tersebut bukan milik Syed Saddiq, tetapi milik penderma.

“Wang itu dikategorikan sebagai hasil aktiviti haram kerana dikumpulkan bagi tujuan kempen pilihan raya, namun tujuan tersebut tidak direalisasikan.

“Bagi pertuduhan keempat yang juga AMLA, tiada justifikasi diberikan berhubung pemindahan RM50,000 daripada jumlah RM120,000 ke akaun ASB milik Syed Saddiq, justeru pertuduhan itu juga berjaya dibuktikan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi pertuduhan pertama, beliau bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah.

Menurutnya, tindakan mengeluarkan wang daripada akaun bukanlah perbuatan yang dilarang di bawah Perkara 24.8 Perlembagaan Bersatu kerana peruntukan itu hanya melarang penggunaan wang untuk perbelanjaan tanpa kelulusan yang sewajarnya.

“Jumlah wang iaitu kurang daripada RM500,000, tidak memerlukan kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

“Selain itu, pertuduhan tersebut gagal memperincikan cara responden didakwa bersubahat secara tidak jujur dengan Rafiq Hakim atau tindakan yang dilakukannya bagi menyalahgunakan dana berkenaan,” katanya.

Hakim berkata, kekurangan butiran penting dalam pertuduhan menyebabkan Syed Saddiq tidak diberikan maklumat mencukupi untuk menjawab pertuduhan itu, sekali gus memadai untuk beliau dilepaskan daripada pertuduhan pertama.

Mengenai dakwaan terdapat saksi ditekan supaya memberi keterangan, beliau berkata, dakwaan itu hanya berbentuk penegasan tanpa disokong bukti dan tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau kemudian membuat keputusan, Syed Saddiq perlu dipenjara enam bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

“Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda, dipenjara dua tahun.

“Bagaimanapun, sabitan dan hukuman tersebut tidak terpakai kerana dua lagi hakim memutuskan untuk mengekalkan pembebasan Syed Saddiq,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!